Category: Koleksi Video Perlawanan
January 1, 2010

Rusuhan bola sepak berlaku lagi. Jika dulu berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil angkara penyokong Kelantan, kali ini ia berlaku lagi di Stadium Darul Aman dengan watak utamanya terdiri daripada penyokong Kedah.
Ketinggalan dua gol kepada pasukan lawan menyebabkan emosi penyokong Kedah sudah mula bergelora dan suasana tegang semasa perlawanan berlangsung menambah suhu kehangatan yang mula menyelubungi penyokong Kedah.
Akhirnya semua sudah tidak tertanggung lagi. Ibarat gunung berapi yang memuntahkan lahar, segelintir penyokong Kedah memecahkan pagar besi lalu menceroboh masuk ke padang.
December 31, 2009

Kedah yang turun sebagai pasukan pilihan akhirnya berputih mata apabila tunduk 0-2 kepada pasukan jiran, Perlis pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja 2009 di Stadium Darul Aman hari Isnin lalu.
Perlis yang turun sebagai pasukan ‘underdog’ membuktikan kejaguhannya apabila sudahpun menggegar jaring lawan seawal minit ke-4 menerusi rembatan Romdhizat Jamian sebelum kedudukan Perlis tambah selesa menerusi jaringan kedua yang menyusul pada minit ke-18 hasil sepakan percuma Andrien Jurad Chamrong.
Perlawanan yang sedikit tegang menyaksikan tiga kad merah dilayangkan oleh pengadil perlawanan, satu kepada pemain Kedah dan dua lagi kepada pemain Perlis.
December 26, 2009


Barcelona mencatat sejarah apabila memenangi kejuaraan keenamnya tahun ini apabila menewaskan Estudiantes La Plata dari Argentina 2-1 dalam perlawanan akhir Kejohanan Kelab Dunia di Abu Dhabi hari Sabtu lalu.
Lionel Messi membuktikan kehadirannya amat penting buat Barca apabila menanduk masuk jaringan kemenangan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan.
December 24, 2009

Kedah dan Perlis bakal buat perhitungan di perlawanan akhir Kejohanan Piala Emas Raja-raja apabila berjaya menewaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir pada hari Sabtu lalu.
Kedah mara ke perlawanan akhir selepas berjaya mengalahkan Singapura 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar sekaligus menang dengan agregat 3-2. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 ketika perlawanan pertama di Singapura.
Perlis pula berjaya menewaskan Johor 3-0 dalam perlawanan kedua peringkat separuh akhir di Kangar dan mara ke perlawanan akhir dengan agregat 3-0. Perlis dan Johor seri 0-0 dalam perlawanan pertama sebelum ini.
December 22, 2009
December 19, 2009

Era kebangkitan Malaysia bermula dari perlawanan ini. Langsung tidak diberi harapan, skuad muda Malaysia membuktikan sebaliknya apabila menjinakkan pasukan pilihan, Thailand dengan keputusan 2-1 sekaligus melayakkan diri ke peringkat separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA ke-25 sambil menyingkir Thailand dari saingan seterusnya.
Thailand hanya memerlukan seri manakala Malaysia terdesak untuk mencari kemenangan. Keadaan bertambah sukar apabila Thailand terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi sepakan percuma Arthit Sunthornphit dari jarak 20 meter yang langsung menewaskan Sharbinie Alawee.
Sikap tidak berputus asa pemain-pemain Malaysia nyata berbaloi apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nasriq Baharom pada minit ke-80 sebelum Ahmad Fakri Saarani muncul wira Malaysia dengan meledakkan gol kemenangan sejurus sebelum tamat perlawanan.
December 18, 2009


Malaysia membuktikan mereka memang layak dikalungkan dengan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA edisi ke-25 apabila menewaskan Vietnam 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung hebat di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos semalam.
Pelbagai aksi menarik dapat disaksikan dalam perlawanan yang berlangsung sengit itu, dengan Vietnam menguasai perlawanan pada babak pertama manakala Malaysia mengambil alih dominasi perlawanan pada babak kedua dengan beberapa percubaan hampir gol.
December 16, 2009

Harapan para peminat bola sepak tempatan akhirnya direalisasikan oleh skuad bola sepak Malaysia apabila mereka melangkah ke perlawanan akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2009 apabila menundukkan pasukan tuan rumah, Laos 3-1 dalam saingan separuh akhir hari Isnin lalu.
Sekali lagi menampilkan persembahan bersemangat dan tidak mengenal erti putus asa, Malaysia yang mendahului menerusi jaringan cantik Baddrol Bakhtiar pada minit ke-14, pada satu ketika menerima tekanan hebat Laos yang menerima sokongan padu daripada lebih 20,000 orang penyokongnya yang memenuhi stadium.
Walaupun Laos berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-72 namun Baddrol sekali lagi melakukan tindakan pemusnah dengan merembat masuk bola ke gawang lawan dari jarak dekat setelah percubaan awal S. Kunanlan terkena palang gol lawan.
November 12, 2009

Negeri Sembilan mencatat sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2009 selepas menewaskan Kelantan 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil hari Sabtu yang lalu.
Ledakan tiga gol menerusi Shahurain Abu Samah, Hairuddin Omar dan Zaquan Adha Abdul Razak melengkapkan kemenangan gemilang skuad Hoben Jang Hoben sambil Indra Putra Mahayuddin melencongkan sepakan percuma pada masa kecederaan untuk meringankan derita yang ditanggung skuad ‘Wira Merah’.
Perlawanan yang disaksikan lebih 85,000 penyokong kedua-dua pasukan di stadium manakala jutaan lagi peminat menyaksikannya secara langsung di kaca televisyen, kelihatan lebih hangat di luar padang berbanding aksi di atas padang.
November 4, 2009

Kelantan mencipta sejarah tersendiri apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali pertama selepas 39 tahun selepas menang dengan agregat 5-1 ke atas Perlis dalam saingan separuh akhir.
Dalam perlawanan pertama di Kota Bharu, Kelantan menang 2-0 manakala ketika bertandang ke Kangar, Kelantan mencipta kemenangan 3-1 ke atas pasukan Singa Utara.
Norfarhan Mohamad muncul wira skuad Wira Merah apabila meledakkan hatrik dalam perlawanan kedua di Kangar manakala Perlis mendapat gol tunggalnya menerusi Firdaus Fauzi. Kemampuan Farhan itu berjaya memberikan kelegaan buat kem Kelantan yang datang ke Kangar tanpa kelibat Indra Putra Mahayuddin yang digantung perlawanan.
November 3, 2009


Liverpool yang sedang berhadapan dengan prestasi tidak menentu bangkit dengan persembahan memberangsangkan apabila menundukkan juara bertahan EPL, Manchester United 2-0 dalam saingan EPL di Anfield minggu lalu.
Tekanan yang membelenggu Rafael Benitez longgar seketika dengan catatan kemenangan ini, terima kasih kepada jaringan Fernando Torres dan David Ngog.
October 23, 2009


Chelsea melayakkan diri mereka ke fasa kalah mati saingan Liga Juara Eropah dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas Atletico Madrid di Stamford Bridge semalam.
Gol pada setiap babak oleh pemain antarabangsa Ivory Coast, Solomon Kalou, rembatan padu Frank Lampard dan jaringan sendiri Luis Perea mengekalkan rekod tanpa kalah Chelsea dan membolehkan ‘The Blues’ mengungguli Kumpulan D.
October 14, 2009


Robert Green menjadi penjaga gol pertama England yang dibuang padang ketika Fabio Capello menyaksikan rekod kemenangan 100%nya dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2010 hancur berkecai setelah kalah 0-1 kepada Ukraine di Stadium Dnipro hari Sabtu yang lalu.
Green menerima hukuman itu atas kesalahan profesional hanya selepas 15 minit perlawanan berlangsung dan menyaksikan kerapuhan benteng pertahanan paling teruk sejak England dibimbing oleh Capello.
September 26, 2009


Fernando Torres merupakan seorang penyerang berprofil tinggi yang cukup digeruni oleh kebanyakan pemain pertahanan lawan.
Liverpool memecah rekod perpindahannya pada 4 Julai 2007 apabila mereka mengikat Torres dengan nilai 26.5 juta pound dari kelab Sepanyol, Atletico Madrid.
Dia memulakan kariernya di Atletico Madrid dan bermain di kelab itu selama 12 tahun, enam tahun sebagai pemain profesional, membuat sebanyak 214 penampilan dan menjaringkan sebanyak 82 gol.
September 22, 2009


Filippo Inzaghi meledakkan dua gol untuk memberikan AC Milan kemenangan tipis 2-1 ke atas Olympique Marseille dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C saingan Liga Juara Eropah di Stade Velodrome hari Selasa lalu.
Penyerang veteran AC Milan itu meletakkan kelab itu di depan dengan gol pertama pada minit ke-27 namun berjaya disamakan oleh Marseille hasil jaringan Gabriel Heinze pada minit ke-49.
September 21, 2009


Pemain kontroversi, Eduardo menyelamatkan maruah Arsenal dengan menjaringkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan untuk membantu Arsenal menewaskan Standard Liege 3-2 dalam saingan Kumpulan H walaupun ketinggalan 0-2 pada satu ketika.
Pemain Croatia itu hanya boleh diturunkan selepas rayuan Arsenal kepada UEFA ke atas penggantungan dua perlawanan diterima oleh badan bola sepak Eropah itu.
September 12, 2009


Brazil membuktikan yang mereka sememangnya jaguh Amerika Selatan apabila mengenepikan cabaran musuh ketatnya, Argentina 3-1 dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2010 zon Amerika Selatan hari Rabu lalu.
Kemenangan itu membolehkan Brazil melayakkan diri ke Afrika Selatan tahun hadapan manakala Argentina pula perlu menang baki perlawanannya untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia.
September 8, 2009


‘Super-sub’ England, Jermain Defoe meneruskan kecemerlangannya dengan menggegar jaring lawan apabila satu lagi sentuhannya cukup memberikan England kemenangan tipis 2-1 ke atas Slovenia dalam perlawanan persahabatan di Wembley hari Sabtu lalu.
Penyerang Tottenham Hotspur itu melakukan impak sebaik masuk menggantikan Emile Heskey pada babak kedua, meledakkan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-63 untuk menjaringkan gol kedua England.
Ini adalah golnya yang kelima dari tiga perlawanan antarabangsanya yang terakhir, kesemuanya dijaringkan tatkala dia dimasukkan sebagai pemain gantian.
September 3, 2009


Manchester United mengekalkan rekod kemenangan 100%nya dalam saingan EPL apabila bernasib baik mengalahkan Arsenal 2-1 di Old Trafford hari Sabtu lalu.
Walaupun ketinggalan pada babak pertama hasil jaringan Andrei Arshavin pada minit ke-40 namun Wayne Rooney menyamakan kedudukan buat United apabila dia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-59.
Laba datang bergolek buat United apabila Abou Diaby tertanduk masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-64 walaupun tiada asakan dilakukan oleh pemain United.
August 27, 2009


Manchester United yang tewas 0-1 kepada Burnley pada perlawanan kedua EPL, mengamuk apabila membelasah Wigan 5-0 di tempat lawan hari Sabtu lalu.
Wayne Rooney menunjukkan betapa tajamnya dia di depan gol dengan meledakkan dua gol dalam perlawanan itu manakala dua gol lagi hasil jaringan Dimitar Berbatov dan Nani. Michael Owen turut mencatat nama sebagai penjaring apabila menjaringkan gol pertamanya bersama United dalam saingan EPL musim ini.
August 17, 2009


England dan Belanda yang telahpun layak ke kojohanan sebenar Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan gagal mengatasi satu sama lain apabila sekadar terikat 2-2 dalam satu aksi persahabatan di Amsterdam 12 Ogos lalu.
Walaupun ketinggalan dua gol hasil jaringan Dirk Kuyt dan Rafael van der Vaart, England bangkit pada babak kedua dengan dua gol penyamaan jaringan Jermain Defoe pada babak kedua.
August 15, 2009


Chelsea yang mendapat sentuhan pengurus baru, Carlo Ancelotti melakar kejayaan pertama pada musim baru 2009/10 apabila merangkul Perisai Komuniti selepas menewaskan Manchester United 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa penuh perlawanan.
United turun tanpa kelibat pemain termahal dunia, Cristiano Ronaldo yang telah berpindah ke Real Madrid namun ianya tidak banyak menjejaskan jentera serangannya. Nani menjadi penyumbang gol pertama United sebelum dua gol jaringan Ricardo Carvalho dan Frank Lampard memberikan kelebihan buat Chelsea.
Wayne Rooney muncul penyelamat United dengan gol penyamaan pada masa kecederaan namun ketangkasan penjaga gol Chelsea, Petr Cech dalam penentuan sepakan penalti memastikan Chelsea muncul juara Perisai Komuniti 2009/10.
August 4, 2009


Bayern Munich menamatkan sebarang harapan Manchester United untuk merangkul Piala Audi apabila menundukkan juara EPL itu dengan penentuan sepakan penalti 7-6 setelah kedua-dua pasukan itu terikat tanpa jaringan pada masa penuh perlawanan.
Penjaga gol Bayern, Michael Rensing muncul wira pasukannya apabila menafikan dua sepakan penalti dari Patrice Evra dan Johnny Evans bagi membolehkan kelab Jerman itu muncul juara.
July 29, 2009


Liverpool mencatat kemenangan pertamanya dalam perlawanan pra-musimnya apabila membelasah Singapura 5-0 di Stadium Nasional hari Ahad yang lalu.
Lima gol Liverpool dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Andrei Voronin, Krisztian Nemeth (dua gol), Albert Riera dan Fernando Torres.
Pemain yang menjadi sasaran Real Madrid, Xavi Alonso membuat penampilan pertamanya bersama Liverpool sejak tamat musim lalu pada ketika Rafael Benitez menurunkan ramai muka baru dalam kesebelasan utamanya.
July 27, 2009


Manchester United mencatat kemenangan ketiga dalam perlawanan persahabatan sempena siri Jelajah Asia 2009 apabila mengenepikan cabaran sengit kelab Korea Selatan, FC Seoul 3-2 hari Jumaat lepas.
Kemenangan ketiga itu dicapai hasil bantuan jaringan Wayne Rooney, Federico Macheda dan Dimitar Berbatov memadam kelebihan dua kali milik FC Seoul menerusi dua jaringan Dejan Damjanovic.
Dalam dua perlawanan terdahulu, United menundukkan Pilihan Malaysia dengan keputusan 3-2 dan 2-0 setelah kunjungan ke Indonesia dibatalkan angkara pengeboman yang berlaku di hotel penginapan mereka di jakarta.
Next Page »
|