Tevez Cemerlang Bantu Kemenangan Manchester United.
Carlos Tevez yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan musim ini, mengganas apabila meledak dengan empat gol sewaktu membantu Manchester United menewaskan Blackburn Rovers 5-3 dalam saingan peringkat suku akhir Piala Carling awal pagi tadi. Kemenangan itu sekaligus melayakkan United ke peringkat separuh akhir kejohanan tersebut.
Tevez menjaringkan gol pertama United pada babak pertama (minit ke-36) sebelum meledak dengan tiga gol lagi pada babak kedua (minit ke-51-penalti, 54 dan 89) manakala satu gol lagi disumbangkan oleh Nani (minit ke-40).
Blackburn yang memberi saingan hebat kepada United berjaya membalas dengan tiga gol menerusi dua gol Benedict McCarthy (minit ke-48 dan 90) dan satu gol jaringan Matt Derbyshire (minit ke-84).
Persembahan Tevez itu menyebabkan pengurusnya United, Alex Ferguson semakin pening memikirkan pemain yang akan disenaraikannya di bahagian serangan United pada perlawanan akan datang.
Tevez, yang mendapati dirinya semakin dipinggirkan selepas ketibaan Dimitar Berbatov di United yakin dia akan kembali diturunkan pada perlawanan EPL menentang Sunderland Sabtu ini.
Ferguson melakukan perubahan besar kepada skuad yang turun menentang Blackburn dan penyerang Argentina itu menunjukkan kepada Ferguson kenapa dia harus diserap semula ke kesebelasan utama United dengan menjaringkan empat gol dalam perlawanan itu.
“Komitmen Tevez amat mengkagumkan,” kata Ferguson. “Adalah menakjubkan apabila dia berjaya menjaringkan empat gol.”
“Ia sememangnya menyebabkan tugas saya semakin sukar, tetapi yang pasti ia membantu kelab ini menjadi semakin kuat.”
Tevez direhatkan dalam kebanyakan perlawanan United dan dia menuntut agar diberi lebih banyak peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama.
“Saya amat bangga dapat menjaringkan empat gol dalam perlawanan itu,” kata Tevez. “Ini adalah pertama kali saya melakukannya dalam karier saya dan paling menggembirakan ia dihasilkan untuk Manchester United.”
“Saya telah lama direhatkan, jadi saya lebih positif menghadapi perlawanan itu dan saya amat gembira dengan prestasi saya itu.”
Gol pertama jaringan Tevez menjadi pertikaian kerana penyerang Argentina dikatakan menolak pemain Blackburn, Aaron Mokoena sewaktu menjaringkan gol itu. Namun, jika gol itu tidak dikira sekalipun, Tevez masih mempunyai tiga gol untuk diiktiraf sebagai hatrik.
Tevez masih dalam kontrak pinjaman bersama United dan kini khabar angin bertiup kencang bahawa United perlu membayar 32 juta pound untuk mengikat pemain yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan itu.
Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Tottenham Hotspur turut mara ke peringkat separuh akhir Piala Carling selepas mereka menewaskan Watford 2-1 di tempat lawan.
Spurs terlebih dahulu ketinggalan menerusi jaringan pemain Watford, Tamas Priskin pada minit ke-13. Bagaimanapun, Spurs memperolehi sepakan penalti pada akhir babak pertama yang disempurnakan oleh Roman Pavyluchenko untuk menyamakan kedudukan.
Darren Bent muncul wira Spurs apabila menjaringkan gol kemenangan buat kelabnya pada minit ke-76. Kemenangan ini bermakna Spurs masih berpeluang mempertahankan Piala Carling yang dimenanginya musim lalu.
Empat pasukan telah mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Piala Carling iaitu Burnley, Derby County, Manchester United dan Tottenham Hotspur.
| 3.1 |












































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.