Piala UEFA - Lima Kelab England Sukses.


Lassana Diarra dan Jermain Defoe menjaringkan gol buat Portsmouth untuk mengalahkan pasukan pelawat, Guimaraes dari Portugal 2-0 dalam perlawanan pusingan pertama Piala UEFA pagi tadi. Diarra meledak enam minit sebelum tamat babak pertama. Menerusi satu gerakan di sebelah kiri, Diarra bermain hantaran satu dua dengan Defoe sebelum membuat sepakan separa voli yang menerjah masuk ke gol lawan.
Pasukan pelawat mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan namun João Paulo Fajardo mensia-siakan sepakan penalti yang diperolehi pasukannya pada minit ke-43. Defoe juga melepaskan peluang menjaringkan gol kedua Portsmouth apabila sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Guimaraes, Correa Junior Nilson pada minit ke-49. Bagaimanapun, Defoe menebus kehampaan itu dengan menyudahkan hantaran cantik Glen Johnson pada minit ke-60 bagi membolehkan Portsmouth menang 2-0 ke atas Guimaraes.


Aston Villa pula menewaskan Litex Lovech 3-1 dalam satu lagi perlawanan di Stadium Gradski. Bagaimanapun, Villa terpaksa bangkit dari ketinggalan satu gol sebelum menjaringkan tiga gol. Ivelin Popov menjaringkan gol buat Litex pada minit ke-10 menerusi sepakan percuma menarik yang menerjah ke jaring lawan. Litex sepatutnya menggandakan jaringan itu namun rembatan Wilfried Niflore sekadar menggegar jaring tepi pintu gol Villa. Pada minit-minit akhir babak pertama, Nigel Reo-Coker memanfaatkan kesilapan penjaga gol lawan untuk menyamakan kedudukan. Malang menimpa Litex apabila Cedric Cambon dilayangkan kad kuning kedua dan diarah keluar padang pada minit ke-60. Seorang lagi pemain Litex, Mihail Venkov turut menerima nasib yang sama apabila dilayangkan kad merah pada minit ke-71 setelah menampan bola dengan tangannya di depan pintu gol Litex. Sepakan penalti yang diperolehi Villa disempurnakan oleh Gareth Barry bagi membolehkan Villa mendahului 2-1. Stiliyan Petrov kemudiannya menjaringkan gol ketiga Villa pada minit ke-90 sekaligus memberikan kemenangan 3-1 Aston Villa ke atas Litex Lovech.


Seperti Aston Villa, Manchester City juga ketinggalan satu gol sebelum penyerang kelahiran Brazil, Joao Alves Jo menjaringkan dua gol untuk membolehkan kelab EPL itu menang 2-1 ke atas Omonia Nicosia. Klodian Duro memberikan gol pendahuluan buat Omonia apabila pemain itu menyempurnakan sepakan percuma yang diperolehi pasukannya pada minit ke-49. Sepuluh minit kemudian, kedudukan terikat 1-1 apabila Jo merembat hantaran Shaun Wright-Phillips ke dalam gol Omonia. Pada minit ke-72, Jo sekali menemui sentuhan gol apabila dia menyempurnakan hantaran Pablo Zabaleta.

Everton pula sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Standard Liege di Goodisan Park. Standard yang merupakan juara Belgium ketandusan gol selama 210 minit ketika menentang Liverpool dalam pusingan kelayakan sebelum ini namun mereka meledak dua kali dalam masa 35 minit ketika menentang Everton. Diedonne Mbokani menjaringkan gol pertama Standard pada minit ke-9 setelah dia menyudahkan hantaran Wilfried Dalmat. Everton berjaya menyamakan kedudukan menerusi Yakubu Ayegbeni pada minit ke-23 sebelum gol sendiri oleh Joseph Yobo membolehkan Standard kembali mendahului pada minit ke-35. Bagaimanapun tiga minit kemudian, Segundo Castillo merembat dari jarak 25 ela untuk menghasilkan gol penyamaan buat Everton.

Totenham Hotspur yang kini menghuni tangga terbawah EPL masih mampu mencatat kejayaan apabila menewaskan Wisla Krakow 2-1 di White Hart Lane. Spurs berjaya mendahului Wisla pada minit ke-33 apabila David Bentley menyempurnakan hantaran Aaron Lennon. Bagaimanapun, Wisla kembali mengikat kedudukan seminit kemudian menerusi Tomas Jirsak. Kedudukan terikat 1-1 hingga tamat babak pertama. Darent Bent muncul wira Spurs apabila jaringannya pada minit ke-73 sudah cukup memberikan kemenangan kepada Spurs dalam perlawanan itu. Kemenangan itu juga adalah kemenangan pertama Spurs musim ini di bawah bimbingan Juande Ramos.
| 3.0 |





















No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.