Piala Sumbangsih 2010 Milik Selangor.

Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih yang dimenanginya tahun lalu apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan pembukaan Liga Super musim ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban malam tadi.
Perlawanan antara juara Piala FA dan juara Piala Malaysia itu adalah perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia dengan kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan terbaik mereka, termasuk pemain-pemain skuad Malaysia yang memenangi pingat emas di Sukan SEA di Laos baru-baru ini.
Negeri Sembilan yang bermain di hadapan penyokong sendiri ternyata begitu berbahaya dengan beberapa gerakan di awal permainan termasuk percubaan dari Aidil Zafuan Abdul Razak yang mengenai palang gol lawan.
Tidak lama selepas itu, pada minit ke-17 menerusi sepakan percuma yang diambil Rizal Zamberi Yahya, Idris Karim yang tidak dikawal menanduk masuk gol pembukaan buat skuad Hobin Jang Hobin.
Penguasaan perlawanan pada babak pertama oleh pasukan tuan rumah ternyata melemaskan pasukan Selangor namun kegagalan barisan penyerang Negeri Sembilan menggunakan kesempatan yang terhidang menyebabkan kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat babak pertama.
Selangor membuat beberapa pertukaran pada babak kedua sehingga membolehkan skuad Gergasi Merah itu meningkatkan asakan pada dua puluh minit terakhir.
Kemasukan R. Surendran, Amirulhadi Zainal dan D. Surendran membantu melancarkan lagi jentera serangan Selangor. Hasilnya pada minit ke-76, menerusi satu gerakan di sebelah kiri oleh R. Surendran, Safee Sali merembat masuk ke gawang Negeri Sembilan untuk mengikat kedudukan.
Tujuh minit kemudian, giliran Safee pula membekalkan hantaran cantik buat R. Surendran menolak masuk gol kemenangan Selangor menewaskan penjaga gol lawan.
Ketua pasukan Selangor, Mohd Amri Yahyah turut diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Lain-lain keputusan perlawanan Liga Super malam tadi.
Kuala Lumpur 1 vs T-Team 1
KL Plus 3 vs Pulau Pinang 1
Pahang 2 vs Perak 1
Terengganu 0 vs Kelantan 0
Johor 0 vs Kedah 3
Perlis 0 vs Johor FC 1







































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.