IKLANKAN PRODUK ANDA! PAKEJ ISTIMEWA - RM10 PADA BULAN PERTAMA DAN RM20 PADA BULAN SETERUSNYA. HUBUNGI KAMI DI 019-2482462 ATAU E-MEL riezersharif@yahoo.com.
Powered by MaxBlogPress  

Liga Super – Selangor Tersungkur, Kelantan Gah Di Persada Liga.

Kelantan mengenepikan kesedihan di awal musim dan membuktikan kehadiran mereka dalam saingan Liga Super harus digeruni apabila membelasah Pahang 5-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus dua kali menggegar jaring untuk membantu pasukan ‘Wira Merah’ itu melonjak ke takhta liga dengan memintas kedudukan Selangor yang tewas mengejut 0-1 kepada UPB MyTeam.

Penyokong pasukan tuan rumah tergamam ketika permainan hanya baru berusia seminit apabila pintu gol Pahang telah dibocori hasil jaringan Khalid sebelum Zairul Fitri Ishak menggandakan kedudukan lapan minit kemudian.

Pahang cuba bangkit dengan merapatkan kedudukan menerusi jaringan Hasnizan Kamaruddin pada minit ke-25 untuk menjadikan kedudukan 2-1 kekal hingga tamat babak pertama.

Bagaimanapun, Kelantan yang menundukkan Terengganu 3-2 minggu lalu, meledakkan tiga gol lagi pada babak kedua menerusi Mohd Badhri Radzi (minit ke-61), Indra Putra Mahayuddin (minit ke-62) dan jaringan kedua Khalid pada minit ke-74.

Di Stadium Shah Alam, Norshahrul Idlan Talaha menjadi pemusnah kepada harapan penyokong pasukan tuan rumah apabila jaringannya pada minit ke-68 memberikan kemenangan 1-0 UPB MyTeam ke atas Selangor.

Walaupun Selangor banyak mengatur serangan ke kubu lawan namun ketumpulan jentera serangan ‘Red Giant’ yang diketuai Safee Sali menjadi punca pintu gol pasukan pelawat gagal ditembusi.

Kekalahan itu menyebabkan Selangor tergelincir ke tangga kedua dengan memungut 15 mata mengatasi pasukan di tangga ketiga, Perlis dengan hanya kelebihan jaringan.

Perlis melonjak ke tangga ketiga selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium J-Corp, Pasir Gudang.

Pasukan pelawat memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila meledak dengan dua gol dalam tempoh tujuh minit pertama untuk menunjukkan kesungguhan mereka membawa pulang tiga mata.

Ahmad Fakri Saarani menyempurnakan sepakan penalti yang diperolehi Perlis seawal minit pertama sebelum Mohd Firdaus Faudzi melebarkan kedudukan dengan gol kedua Perlis enam minit kemudian.

Mohd Syaiful Sabtu kembali menceriakan kem tuan rumah dengan merapatkan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-57 namun pasukan pelawat kental bertahan untuk mengekalkan kedudukan 2-1 hingga tamat perlawanan.

Kedah meneruskan rentak kemenangannya apabila menewaskan Kuala Muda NAZA 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman.

Mohd Kyril Muhymeen memberikan Kedah permulaan baik apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-7 namun Victor Andrag menjaringkan gol penyamaan buat KM NAZA pada minit ke-30 untuk mengikat kedudukan 1-1 pada babak pertama.

Seorang lagi pemain muda skuad Kenari, Badrol Bakhtiar muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan Kedah pada minit ke-51.

Di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang berjaya menundukkan Polis 3-1 hasil jaringan Mohd Nor Azlan, M. Prakash dan Mohd Rafiuddin Rodin.

Sebelum itu, Polis terlebih dahulu mengejutkan pasukan tuan rumah dengan gol pendahuluan menerusi Khairuzal Azmi pada minit ke-8.

Perak pula menerima nasib malang seperti Selangor apabila tumpas 0-1 kepada Terengganu di Stadium Perak, Ipoh.

Gol tunggal kemenangan Terengganu dijaringkan oleh Hariri Mohd Safli pada minit ke-56.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan mencicirkan dua mata berharga apabila sekadar terikat tanpa jaringan dengan KL Plus.

Rate this:
3.1

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.

(required)

(required)