Liga Juara Eropah – Liverpool Akhiri Kempen Dengan Kekalahan.
Kempen berliku Liverpool dalam Liga Juara Eropah musim ini berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada Fiorentina di Anfield semalam.
Tambah memilukan apabila pasukan pelawat memahat kemenangan menerusi gol lewat permainan oleh Alberto Gilardino pada minit kedua tambahan masa untuk memanjat ke persada Kumpulan E.
Turun dengan pandangan positif, Liverpool bermula dengan menyenaraikan Alberto Aquillani dalam kesebelasan utama manakala Fernando Torres kembali dari kecederaan otot untuk beraksi dalam 25 minit terakhir perlawanan.
Gol menerusi tandukan Youssi Benayoun pada minit ke-43 memberikan harapan untuk ‘The Reds’ mencatat kemenangan dalam perlawanan yang dikuasai mereka, tetapi kecuaian di benteng pertahanan membolehkan pasukan pelawat menyamakan kedudukan pada minit ke-63 menerusi Martin Jorgensen.
Fiorentina, berwaspada yang Lyon hampir pasti menewaskan Debrecen maka mereka menyedari hanya kemenangan sahaja yang akan membolehkan mereka muncul juara kumpulan, dan atas sebab itu mereka sentiasa memberikan tekanan kepada kubu Liverpool.
Ia berhasil dan Liverpool sekali lagi dilanda bencana gol saat akhir. Itulah yang berlaku dalam perlawanan mereka sebelum ini dalam dua perlawanan menentang Lyon dan kini Fiorentina pula menambah derita mereka dengan cara yang sama.
Liverpool merehatkan Jamie Carragher, Jose Reina, Glen Johnson dan Lucas manakala Dirk Kuyt terpaksa disenaraikan berikutan keadaan David Ngog yang kurang sihat.
Pemain muda, Stephen Darby diletakkan di pertahanan kanan manakala pemain pertahanan Itali, Andrea Dossena digunakan untuk menjana bahagian tengah kiri.
Perlawanan itu, pada satu ketika kelihatan seperti satu perlawanan ujian buat Liverpool yang sudahpun terkeluar dari saingan Liga Juara Eropah musim ini.








































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.