Juara Liga Super 2009 Sah Milik Selangor.
Selangor merangkul kejuaraan Liga Super buat kali pertama sejak ia diperkenalkan lima tahun lalu setelah mudah membelasah Polis 6-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Selayang malam tadi.
Walaupun perlawanan masih berbaki satu perlawanan, Selangor mengesahkan kejuaraan liga adalah miliknya dengan kelebihan tujuh mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Perlis yang kecundang 1-2 kepada KL Plus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Ini adalah piala ketiga yang dimenangi oleh Selangor tahun ini selepas turut merangkul Piala Sumbangsih dan Piala FA sebelum ini.
Dalam perlawanan malam tadi, Selangor yang bersungguh-sungguh untuk menjuarai Liga Super telahpun membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 menerusi Rudie Ramli sebelum lima gol lagi menyusul menerusi Nasriq Baharom (minit ke-29), Amri Yahyah (minit ke-46), Razman Roslan (minit ke-54), Amirulhadi Zainal (minit ke-71) dan D. Surendran (minit ke-75).
Polis yang kehilangan seorang pemain setelah Nazrul Effendy M. Nor dilayangkan kad merah pada minit ke-64 akhirnya memperoleh jaringan saguhati menerusi Khairul Izuan Abdullah enam minit sebelum tamat perlawanan.
Perlis yang mengharapkan Selangor kalah dalam perlawanan itu untuk mengurangkan defisit mata antara kedua-dua pasukan sebaliknya berputih mata apabila mereka yang tersungkur 1-2 kepada KL Plus sekaligus meletakkan skuad Singa Utara itu sekadar di tangga kedua liga.
Irwan Fadzli Idrus dan Fadzli Saari meletakkan KL Plus dua gol di depan sebelum Perlis merapatkan kedudukan menerusi Ahmad Fakri Saarani.
Kedah pula terus mengukuhkan kedudukannya di tangga ketiga liga apabila membenam cabaran Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Kota Bharu. Gol kemenangan Kedah dijaringkan oleh Wan Zaim Wan Azizan pada minit ke-49.
Dalam perlawanan lain, KM Naza menewaskan Negeri Sembilan 1-0, Johor FC membelasah UPB MyTeam 5-0 manakala Pahang menundukkan Perak 2-1 di Stadium Darulmakmur.









































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.