Impian Kelantan Hancur Berkecai, Negeri Sembilan Juara Piala Malaysia 2009.

Negeri Sembilan mengakhiri kemarau kejuaraan Piala Malaysia selama 60 tahun apabila merangkul kejuaraan berprestij itu dengan menewaskan Kelantan 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Dengan menurunkan kesebelasan terbaik, kedua-dua pasukan bagaimanapun bermula dengan berhati-hati sehingga permainan lebih banyak bertumpu di tengah padang pada sepuluh minit pertama.
Perlawanan yang pada awalnya sedikit membosankan mula menampakkan kehangatannya sebaik pintu gol Kelantan dibolosi pada minit ke-20. Dari situasi kelam kabut di depan gol Kelantan, Shahurain Abu Samah mengambil kesempatan dengan meledakkan rembatan kencang yang menewaskan Halim Napi.
Jentera serangan Kelantan yang diketuai oleh Indra Putra Mahayuddin kelihatan gagal mendapat rentak dan serangan mereka seringkali berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan lawan yang diketuai oleh Aidil Zafuan.
Pada ketika perlawanan babak pertama menuju ke wisel penamat, Hairuddin Omar nyaris menggandakan kedudukan namun kuisannya hasil hantaran Zaquan sekadar sipi di kanan pintu gol Kelantan.
Gandingan Zaquan – Hairuddin ternyata menjadi apabila gol kedua Negeri Sembilan menyusul sebaik babak kedua dimulakan. Hasil hantaran menarik Zaquan, Hairuddin menanduk masuk ke gawang lawan sambil hanya diperhati oleh Halim Napi.
Dengan keyakinan mula menyelubungi pemain-pemain skuad Hoben Jang Hoben, gerakan-gerakan meyakinkan mula dicipta dan hasilnya dari satu gerakan pada minit ke-59, Shahurain dijatuhkan dalam kawasan penalti. Zaquan yang ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti tenang menyempurnakannya untuk gol ketiga Negeri Sembilan.
Suasana stadium mula bergempita dengan letupan mercun, dipercayai dari penyokong Kelantan yang kecewa dan sebilangan dari mereka mula meninggalkan tempat duduk untuk pulang. Botol-botol air juga bertaburan di tepi padang manakala beberapa kebakaran kecil di tempat duduk penonton terpaksa dipadamkan oleh anggota keselamatan yang bertugas.
Tanpa menghiraukan apa yang berlaku di luar padang, pemain-pemain Kelantan cuba bangkit memberi cabaran. Akhirnya, mereka berhasil mendapatkan gol saguhati menerusi sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin pada masa kecederaan namun gol itu gagal memberi sebarang makna kepada skuad Wira Merah.
Negeri Sembilan mendapat keceriaan berganda apabila Shukor Adan diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir manakala pasukan T-Team dari Terengganu diumum sebagai penerima anugerah ‘Fair-Play’.








































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.