Ulat Tiket Turut Ambil Kesempatan, Tiket Final Piala Malaysia Laku Macam Goreng Pisang Panas.
Macam Goreng Pisang Panas! Begitulah yang boleh digambarkan untuk merujuk kepada penjualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di kaunter tiket Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang pertemuan hebat antara Kelantan dan Negeri Sembilan malam ini.
Dikatakan, kaunter tiket hanya sempat dibuka selama 50 minit sahaja sebelum pengumuman dibuat yang semua tiket telah habis dijual. Pengumuman itu menyebabkan ribuan peminat bola sepak tempatan yang membanjiri pekarangan Stadium Nasional mengeluh hampa memandangkan ada antaranya sudahpun berada di situ sejak awal pagi lagi.
Walaupun tiada kekecohan serius berlaku namun situasi gamat menguasai suasana laman stadium dengan laungan dan jeritan bagi menggambarkan rasa ketidakpuashatian mereka terhadap penjualan tiket yang amat sedikit. Ia ditambah pula oleh sikap segelintir peminat yang membeli tiket dengan satu jumlah yang banyak, dikatakan ada yang membeli sejumlah 40 keping tiket sehingga menimbulkan persoalan untuk apakah tiket sebegitu banyak dibeli.
Maka pelbagai andaian dibuat. Mungkin individu terbabit adalah ulat tiket, seseorang yang dilabelkan sebagai manusia yang sering mengambil kesempatan dan keuntungan dalam sesuatu situasi.
Semalam, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 10,000 keping tiket untuk dijual secara terbuka kepada peminat-peminat bola sepak tempatan. 75,000 keping tiket lagi telah diagih-agihkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengikut tempahan yang dibuat menjadikan kesemuanya 85,000 keping tiket final Piala Malaysia telah habis dijual.
Walaupun kapasiti Stadium Nasional boleh mencecah sehingga 100,000 penonton namun mengambil kira aspek keselamatan, pihak FAM hanya mencetak 85,000 keping tiket sahaja.
Ternyata prestij kejohanan Piala Malaysia sebagai sebuah kejohanan yang tertua di negara kita masih terpelihara. Keghairahan penyokong kedua-dua pasukan, Kelantan dan Negeri Sembilan serta peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan final Piala Malaysia membuktikannya.
Bagi para penyokong yang gagal menyaksikan perlawanan itu di stadium, mereka boleh memujuk hati mereka dengan menonton perlawanan itu secara langsung di kaca televisyen mereka. Mungkin kepuasannya tidak sama tetapi apa yang penting, mereka tidak akan terlepas untuk menjadi saksi kepada sejarah yang bakal dicipta oleh kedua-dua pasukan.








































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.