Ringankan Beban KAFA, Penyokong Lancar Tabung Bayar Denda FAM.

Atas dasar prihatin kepada apa yang berlaku, Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan dikatakan telah melancarkan kutipan derma untuk membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) membayar denda sebanyak RM 50,000 yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) angkara perbuatan durjana sebilangan penyokong mereka yang membuat onar di Stadium Nasional Bukit Jalil semasa perlawanan akhir Piala Malaysia tempoh hari.
Walaupun yang membuat kacau mungkin orang lain namun sikap mulia yang diambil oleh kumpulan itu wajar dipuji dan menunjukkan dalam ‘setandan pisang tidak semuanya busuk dan tidak boleh dimakan.’
Inisiatif itu sekurang-kurangnya menunjukkan yang kebanyakan penyokong Kelantan sendiri tidak merestui tindakan rakan-rakan mereka yang hilang kawalan diri semasa perlawanan itu. Kalaupun tidak dapat mencapai jumlah RM 50,000 untuk membayar denda tersebut, namun kesungguhan mereka itu menjadi simbol hubungan erat persatuan sukan dengan para peminat.
Kita percaya KAFA sudahpun mempunyai dana yang mencukupi untuk membayar denda tersebut dan usaha yang dilakukan oleh kumpulan itu pasti dialu-alukan, cuma diharapkan biarlah ia yang terakhir, maksudnya kalau boleh janganlah peristiwa buruk di Bukit Jalil itu berulang lagi, sekaligus kantung KAFA pun tidak akan mengurang dek asyik membayar denda atas kesalahan yang dibuat orang lain.
Namun begitu, KAFA masih mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan dan jika diterima rayuannya maka denda yang dikenakan pasti berkurangan. Bagaimanapun, ia tetap merupakan satu kerugian buat KAFA. Wang tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk membayar gaji, elaun mahupun bonus kepada para pemain dan pegawainya tetapi nampaknya ia terpaksa dialirkan masuk ke kantung FAM.
Tabung yang dinamakan RM1, 1 Kelantan dikatakan akan turut diedarkan ke seluruh jajahan Kelantan dan dana yang terkumpul nanti disasarkan untuk menampung kos denda yang terpaksa ditanggung oleh KAFA bukan sahaja akibat kekacauan di Bukit Jalil tetapi juga pada masa-masa akan datang.
Langkah murni diharapkan akan menyedarkan penyokong-penyokong bahawa mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara maruah pasukan masing-masing. Sebenarnya kita tahu yang membuat kacau hanyalah segelintir pihak sahaja tetapi oleh kerana mereka membawa jenama Kelantan maka menjadi tanggungjawab KAFA untuk memantau golongan ini.
Kepada penyokong yang selalu ‘baling batu sembunyi tangan’ ini, selepas ini eloklah mereka menonton perlawanan bola sepak di televisyen rumah mereka sahaja. Jika mereka tidak berpuas hati dengan pasukan mereka sendiri, bolehlah mereka membakar kerusi di rumah mereka atau bakar televisyen atau bakar sahaja rumah mereka barulah mereka dikatakan penyokong yang hebat.
Nanti pihak FAM boleh menambah satu lagi kategori iaitu anugerah ‘Penyokong Terhebat Tahunan’ semasa majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan sebagai mengiktiraf kefanatikan golongan ini kepada pasukan masing-masing. Maknanya, lebih banyak mereka merosakkan harta benda sendiri, lebih besarlah peluang mereka memenangi anugerah tersebut!







































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.