Pestabola Merdeka – Cuma Tiga Pemain Kedah?


Pestabola Merdeka ke-40 akan berlangsung pada 15 hingga 25 Oktober 2008. Sehubungan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyenaraikan barisan pemain yang akan menganggotai skuad negara ke kejohanan tersebut. Buat sementara, Malaysia akan dilatih oleh Mohd Zaki Sheikh Ahmad memandangkan B. Sathianathan berada di New York kerana memenuhi undangan kejohanan kemerdekaan Persatuan Malaysia-Amerika Syarikat. Di samping itu, Sathianathan akan menguruskan pemergian skuad negara ke Slovakia bagi menjalani perlawanan persahabatan di sana pada bulan Oktober nanti.

Dalam senarai yang dikeluarkan oleh FAM, cuma tiga pemain Kedah yang disenaraikan iaitu Helmi Eliza Elias, Kyril Muhymeen dan Shafizan Hashim. Ini agak mengejutkan memandangkan Kedah merupakan juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Pasukan Selangor pula yang sekadar muncul naib juara Piala FA dan Piala Malaysia mempunyai lima wakil dalam skuad kebangsaan. Antara pemain Selangor yang disenaraikan ialah Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Asraruddin Putra Omar, Amirulhadi Zainal dan Safee Sali. Selain itu, beberapa pemain senior yang menganggotai skuad negara ketika menentang Chelsea tempoh hari turut disenaraikan.

Perkara ini sudah pasti menimbulkan persoalan di kalangan peminat bola sepak tanah air. Secara kasarnya, mereka dapat menyaksikan betapa hebatnya pemain-pemain skuad Kedah memperagakan kemahiran mereka sehingga berjaya membantu Kedah menjuarai enam piala dalam dua musim. Beberapa anak didik Azraai Khor Abdullah ternyata mempunyai kredibiliti sebagai pemain. Ini bermakna mereka wajar diberi peluang untuk menyumbang bakti kepada pasukan negara. Bagaimanapun, agak mengecewakan apabila tiada nama-nama pemain seperti Fadly Baharom, Badrol Bakhtiar mahupun V. Thirumurugan dalam senarai yang dikeluarkan oleh FAM.
Entah apa alasan yang yang akan digunakan oleh FAM jika ditanya tentang perkara itu. Jika pemain disenaraikan berdasarkan prestasi semasa, ada beberapa nama yang sudah boleh disimpan di dalam fail. Namun, yang menghairankan adalah kenapa pemain-pemain yang sudah luntur prestasinya, kudrat pula semakin lemah malah pencapaian pasukannya pun tidak ke mana, masih menjadi pemain pilihan FAM. Sepatutnya pemain-pemain yang sudah berusia direhatkan untuk pemain-pemain muda tampil mengambil alih posisi mereka. Ada ramai lagi pemain muda berbakat sedang terintai-intai peluang untuk mewakili skuad negara.

Jika kita masih ingat, FAM memilih pasukan bawah 23 tahun sebagai wakil Malaysia ke kejohanan Pestabola Merdeka tahun lalu. Percubaan itu membuahkan hasil apabila pasukan Malaysia ini muncul juara Pestabola Merdeka ke-39 itu selepas sekian lama gagal berbuat demikian. Pasukan muda itu ternyata agresif, lasak, berstamina tinggi dan berkeyakinan walaupun ketika bertemu pasukan negara lain yang lebih berpengalaman. Jika tahun lalu ia mampu dilakukan kenapa tahun ini FAM ingin berundur ke belakang semula? Kalau hendak diserapkan pemain-pemain seniorpun pastikan mereka benar-benar masih boleh memberi sumbangan kepada pasukan negara. Oleh itu, apa salahnya jika pemain-pemain muda Kedah yang telahpun terbukti kemampuannya diserap masuk ke dalam pasukan kebangsaan.
Namun, peluang seperti ini cuba dinafikan oleh badan induk bola sepak negara kita sendiri. FAM seharusnya mengatur strategi baru bagaimana untuk meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan bukannya terus bergantung kepada pemain-pemain yang sudahpun sampai tarikh luputnya. Keberanian harus ada kepada FAM jika mahu meningkatkan mutu bola sepak negara kita. Kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya!
Jumpa lagi di artikel yang lain pula.
| 3.0 |







































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.