IKLANKAN PRODUK ANDA! PAKEJ ISTIMEWA - RM10 PADA BULAN PERTAMA DAN RM20 PADA BULAN SETERUSNYA. HUBUNGI KAMI DI 019-2482462 ATAU E-MEL riezersharif@yahoo.com.
Powered by MaxBlogPress  

Insiden Memalukan, Penyokong Kelantan Tiada Semangat Kesukanan ?

Kalah menang adat bertanding. Tiada siapapun yang mahukan pasukannya kalah tetapi mana mungkin dalam satu kejohanan akan ada dua juara. Walaupun ia pernah berlaku tetapi dengan peraturan terkini yang wujud, mesti ada hanya satu sahaja pemenang yang akan ditabalkan selaku juara.

Penyokong Negeri Sembilan adalah antara golongan yang paling gembira ketika ini berikutan kejayaan mereka merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2009 setelah kempunan tanpa kejuaraan piala berprestij itu selama lebih 60 tahun. Kesabaran mereka ternyata berbaloi lebih-lebih lagi mereka pernah melangkah ke final pada tahun 2000 dan 2006 namun rezeki belum menyebelahi mereka pada ketika itu.

Disiplin dan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh para penyokong Negeri Sembilan dalam perlawanan kemuncak Piala Malaysia itu seharusnya dipuji. Mungkin ada yang mengatakan sikap itu boleh berubah jika skuad Hoben Jang Hoben adalah pasukan yang tewas dalam perlawanan itu. Namun, sejarah membuktikan walaupun kalah dua kali dalam final sebelum ini, penyokongnya tetap tidak melakukan tindakan liar di luar batasan peraturan.

Bagaimana dengan penyokong Kelantan? Kekalahan sememangnya sesuatu yang amat menyakitkan. Tiada siapapun di dunia ini yang boleh menerima sesuatu kekalahan dengan rasa girang. Cuma yang membezakan suasana adalah sama ada kita dapat mengawal emosi kita atau tidak.

Penyokong Kelantan memang terkenal dengan sikap fanatiknya. Fanatik sebenarnya sesuatu yang baik terutama kepada pasukan yang bertanding kerana kesanggupan para penyokong tersebut melakukan apa sahaja untuk menyokong pasukan mereka.

Malah, semua negeri mempunyai penyokong fanatiknya. Bagaimanapun, keupayaan mereka mengawal emosi itulah yang membezakan penyokong tersebut antara satu sama lain.

Bagaimanapun, sikap fanatik penyokong Kelantan amat berlainan dengan penyokong-penyokong dari pasukan lain. Lebih-lebih lagi apabila jumlah kehadiran mereka mencecah puluhan ribu maka sudah tentu suasananya akan lebih gamat dan semangatnya juga akan melimpah-ruah.

Itulah yang terjadi sewaktu final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil hari Sabtu lalu. Jumlah penyokong Kelantan dikatakan mencecah 60,000 orang berbanding hanya 20,000 penyokong di pihak Negeri Sembilan. Maknanya, penguasaan suasana sudah tentulah berpihak kepada kem Kelantan.

Ditambah pula siaran berita-berita di dada akhbar yang banyak menyebelahi skuad ‘Red Warriors’ menambahkan keyakinan mereka yang pasukan kesayangan mereka itu mampu untuk merangkul Piala Malaysia tahun ini.

Gambaran dan harapan yang diberikan itu ternyata palsu apabila pemain-pemain Kelantan gagal mempersembahkan permainan terbaik mereka, mungkin disebabkan tekanan berlebihan atau darah gemuruh yang menyelubungi diri atau juga mungkin kerana pasukan Negeri Sembilan adalah pasukan yang lebih baik.

Itu menambah keresahan di kalangan penyokong Kelantan di sebalik keghairahan mereka untuk menyaksikan sebuah persembahan yang hebat dari wira-wira mereka. Ledakan tiga gol oleh pasukan lawan akhirnya ternyata ibarat petrol yang menyiram api di hati mereka.

Akhirnya, itulah yang dapat kita saksikan sewaktu menonton siaran langsung perlawanan itu di kaca televisyen. Pada ketika kedua-dua pasukan masih berjuang di tengah padang, anggota keselamatan pula terpaksa berjuang menangani kekacauan yang berlaku di tempat duduk penyokong Kelantan.

Botol-botol air dibaling ke padang, mercun dibakar sesuka hati sehingga membingitkan telinga malahan kerusi stadium turut menjadi mangsa kerasukan sebilangan penyokong yang sanggup membakarnya demi melampiaskan nafsu kemarahan terhadap kegagalan pasukan sendiri.

Mungkin sikap sebahagian penyokong Kelantan lebih mulia apabila mengambil keputusan untuk lebih awal meninggalkan stadium, satu sikap yang mungkin mengecewakan skuad Kelantan yang masih mengharapkan sokongan mereka, namun rasanya itu lebih baik berbanding sikap vandalisme yang ditunjukkan oleh rakan senegeri mereka yang lain.

Dikhabarkan, sebenarnya sikap melanggar batasan peraturan ini sudahpun berlaku sebelum perlawanan berlangsung lagi. Walaupun ribuan anggota keselamatan ditugaskan untuk mengawal stadium namun mereka sanggup menyerbu masuk beramai-ramai sehingga anggota keselamatan pun sudah tidak mampu melakukan apa-apa.

Ikut perancangan awal, para penyokong kedua-dua pasukan akan diperiksa secara ketat untuk mengelakkan kemasukan mercun secara haram namun kekuatan gerombolan penyokong melebihi kekuatan kumpulan anggota keselamatan. Kesudahannya, perancangan cuma tinggal perancangan sahaja dan demi sebuah kejayaan maka undang-undang terpaksa dikorbankan.

Jika diundurkan masa ke belakang, rusuhan penyokong di Kota Bharu dan pertempuran penyokong di Stadium Utama Negeri, Kangar ketika perlawanan Perlis-Kelantan kesemuanya melibatkan penyokong ‘Red Warriors’.

Bukanlah ingin menuduh malah jauh sekali dari berburuk sangka, jika kesemua insiden itu melibatkan penyokong Kelantan, apa lagi yang mahu dikatakan? Manusia dikurniakan dengan akal fikiran dan hanya akal fikiran sahaja yang boleh mengawal perasaan. Jika perasaan dibiarkan menguasai diri maka inilah jadinya. Bukan sahaja harta benda yang musnah silap-silap nyawapun boleh melayang.

Artikel ini ditulis bukanlah untuk menghentam mana-mana pihak. Sebagai manusia biasa yang amat sayangkan bola sepak, amatlah sedih menyaksikan kejadian sumpama itu masih berlaku tatkala negara kita sudahpun 52 tahun merdeka. Sudahlah pencapaian pasukan bola sepak negara kita masih ditakuk lama, kini sikap penyokong kita juga nampaknya semakin menampakkan kejahilan.

Diharapkan selepas ini, semua peminat bola sepak akan kembali ke bumi nyata dan berpegang semula kepada peraturan sedia ada. Mengimpikan kejayaan itu tidak salah, menyokong pasukan sendiri itu tidak salah, bersorak dalam stadium itupun tidak salah. Yang salah, apabila kita berlebihan dalam segala gerak-geri kita dan tiada semangat kesukanan yang tebal dalam diri kita. Jadi, benarkah penyokong Kelantan tiada semangat kesukanan? Hanya anda dan mereka sahaja yang dapat menjawabnya!

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.

(required)

(required)