Negeri Sembilan Sememangnya Layak Dinobatkan Juara Piala Malaysia 2009.

Menjadi juara selepas 60 tahun gagal melakukannya adalah sesuatu yang sangat manis untuk dikenang, lebih-lebih lagi merangkul kejuaraan paling berprestij di negara ini.
Impian itulah yang berjaya dikecapi oleh Negeri Sembilan apabila memenangi Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan 3-1 dalam perlawanan akhir, tambahan pula mereka menampilkan aksi serba kemas sehingga gagal disaingi oleh pasukan lawan.
Kerjasama sepasukan, kesungguhan dan kemampuan menangani tekanan menjadi sebahagian intipati kejayaan skuad Hoben Jang Hoben.Gabungan pemain baru dan lama menguatkan lagi kemantapan pasukan dan akhirnya ia dijelmakan dalam bentuk kejayaan.
Kembar Negeri Sembilan, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak ternyata menjadi nadi kejayaan pasukan Negeri Sembilan. Kepantasan yang dimiliki dua beradik ini menjadikannya kelebihan buat mereka mengatasi lawan masing-masing.
Kemampuan Zaquan Adha menjaringkan sejumlah sepuluh gol dalam saingan Piala Malaysia membuktikan ketajamannya menggempur kubu lawan apatah lagi dia dikelilingi oleh rakan penyerang yang boleh diharapkan.
Shahurain Abu Samah umpamanya, antara pemain yang menyerlah dalam final itu. Kelicikannya sukar dibendung sehingga menyebabkan barisan pertahanan lawan sering tersalah langkah dengan gerakan pantasnya. Kepantasannya menghidu peluang menyebabkan tumpuan barisan pertahanan lawan tidak tertumpu semata-mata kepada Zaquan sahaja.
Kehadiran Hairuddin Omar juga dilihat sebagai pelengkap kepada jentera serangan Negeri Sembilan. Tindakan bijak Wan Jamak Hassan meminjam pemain itu dari pasukan T-Team nampaknya berbaloi apabila dia turut menyumbang satu gol dalam perlawanan akhir itu.
Jentera tengah Negeri Sembilan yang dijana oleh Rezal Zamberi Yahya, Alif Samsudin, Idirs Karim dan S. Kunanlan turut menyumbang kepada kejayaan ini. Mereka dengan mudah menguasai bahagian tengah meninggalkan pasukan lawan terkapai-kapai. Alif umpamanya begitu menyerlah dengan larian-larian di sebelah kanan sehingga membuatkan kubu lawan kucar-kacir.
Shukor Adan yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir memang terbukti keberkesanannya berganding dengan Aidil dan Ching Hong Aik untuk membentengi pintu gol mereka dari dicerobohi pihak lawan. Kawalan ketat mereka ke atas pemain lawan ternyata mengehadkan pergerakan penyerang lawan.
Dengan rekod kemenangan 100% dalam saingan Piala Malaysia tahun ini sebenarnya sudahpun menunjukkan kemampuan mereka untuk muncul juara Piala Malaysia. Tumpuan berlebihan yang diberikan pihak media kepada Kelantan sebenarnya sudahpun memudahkan kerja pemain Negeri Sembilan di padang tatkala pasukan lawan dihimpit tekanan berlebihan manakala mereka lebih selesa bermain selaku pasukan ‘underdog’.
Apa yang pasti, Negeri Sembilan adalah pasukan yang menampilkan aksi lebih baik berbanding Kelantan dalam perlawanan akhir itu. Dan lebih pasti lagi, Negeri Sembilan sememangnya layak menjuarai Piala Malaysia tahun ini. SYABAS NEGERI SEMBILAN!








































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.