Masalah Kewangan Punca PDRM Tarik Diri.
PDRM bukanlah pasukan belasahan. Mereka juga bukanlah pasukan yang sekadar melengkapkan pasukan dalam Liga Malaysia. Sebaliknya, PDRM adalah juara Liga Perdana musim 2006/07 sekaligus melayakkan mereka menyertai Liga Super pada musim berikutnya.
Walaupun sekadar menduduki tangga kesembilan dari 13 pasukan yang bertanding dalam Liga Super namun pencapaiannya begitu baik dalam saingan Piala Malaysia sehingga layak ke peringkat suku akhir. Malah mereka hampir mengejutkan Selangor dengan mengikat skuad Gergasi Merah itu dengan keputusan 3-3 sebelum diisytihar tewas berdasarkan peraturan kelebihan gol di tempat lawan.
Kini musim baru Liga Malaysia semakin hampir membuka tirai dan PDRM sekali lagi membuat kejutan. Kali ini mereka mengumumkan untuk menarik diri dari menyertai Liga Malaysia disebabkan faktor kewangan.
Sebelum ini, PDRM ditaja oleh sebuah syarikat swasta, Inai Kiara Sdn. Bhd. Bagaimanapun, penajaan selama dua tahun itu tamat sebaik berakhirnya musim 2008. Syarikat itu dikatakan ingin mengundurkan diri dan ini bermakna PDRM tiada penaja lagi yang dapat membantu kewangan pasukan selain geran peruntukan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Akibatnya, PDRM terpaksa melepaskan ramai pemain utamanya musim lalu kepada pasukan lain ekoran mereka tidak mampu lagi untuk membayar gaji pemain-pemain itu. Akhirnya yang tinggal adalah pemain-pemain yang sememangnya adalah anggota dan kakitangan tetap PDRM.
Berdasarkan situasi itu, PDRM merasakan yang pasukan mereka itu pasti tidak mampu menandingi pasukan-pasukan lain yang dipenuhi pemain-pemain berkaliber. Selain itu, peruntukan yang diperolehi dari FAM itu diyakininya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan sepanjang musim baru nanti.
Maka dengan berat hati, mereka telah mengutus surat kepada FAM untuk menyatakan hasrat mereka menarik diri empat hari sebelum tamat tarikh pengesahan penyertaan pasukan dalam Liga Malaysia.
FAM dalam reaksi balasnya menerusi Setiausaha Agungnya, Lt. Jen. (B) Datuk Azzuddin Ahmad mengatakan bahawa PDRM berkemungkinan akan didenda sebanyak RM10,000 dan digantung dalam tempoh tertentu sebagai hukuman di atas penarikan diri itu.
Penarikan diri PDRM itu bermakna tempat kosong yang ditinggalkan mereka akan digantikan oleh pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Perdana musim lalu iaitu Kelantan. Kelantan telahpun dihubungi oleh FAM untuk memaklumkan mengenai perkara itu.
Kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada PDRM. Keputusan yang dibuat oleh PDRM itu bukanlah suatu keputusan yang mudah buat mereka. Bagaimanapun, kekangan yang begitu kuat menghimpit mereka menyebabkan keputusan itu diambil.
Adalah malang bagi arena bola sepak tanah air yang melihat pada ketika kita sibuk melaungkan era professional dalam sukan bola sepak tetapi masalah yang membelenggu bidang bola sepak ini masih terus menghantui pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.
Eloklah kiranya pihak FAM melihat perkara ini dengan lebih serius lagi. Tidak guna kita melaung-laungkan mengenai kekayaan persatuan yang kita uruskan tetapi pada masa yang sama pasukan-pasukan di bawah naungan kita terus bergelut dengan masalah kewangan yang berpanjangan.
Apapun, kita harap PDRM akan kembali semula ke kancah bola sepak tanah air pada masa akan datang. Lebih banyak pasukan yang menyertai Liga Malaysia adalah lebih bagus untuk perkembangan bola sepak negara kita.
| 3.1 |























No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.