Laman Web FAM Ibarat Si Kura-Kura.


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah persatuan yang menaungi semua persatuan bola sepak negeri. FAM juga adalah badan yang menyelaraskan semua aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan. Maksudnya segala aktiviti bola sepak sama ada di peringkat senior mahupun belia adalah di bawah pengetahuan FAM. Sepatutnya, kejohanan sekolah di peringkat kebangsaan pun adalah di bawah seliaan FAM. Bunyinya seolah-olah luas sungguh tanggungjawab FAM namun mahu tidak mahu sepatutnya FAM menjalankan tanggungjawabnya kerana ia memang tanggungjawab FAM!

Perkara ini disentuh bukan dengan maksud bahawa orang-orang di FAM tidak menjalankan tanggungjawabnya tetapi yang ingin disentuh di sini ialah tentang betapa lemahnya sistem penyampaian maklumat FAM kepada masyarakat penggemar bola sepak tanah air. Masyarakat hari ini kesuntukan masa. Mereka tiada masa untuk berlegar-legar semata-mata untuk mencari maklumat. Banyak kerja yang perlu dibuat dalam masa yang terhad. Namun minat kepada bola sepak tidak diabaikan. Memandangkan dunia kini dikuasai oleh kekuatan internet maka sudah pastilah maklumat juga akan dicari melalui internet. Kata orang, maklumat kini di hujung jari. Sesekali ingin juga mencari berita dan info-info bola sepak dalam negara maka pastinya laman web FAM yang akan dilayari dahulu. Bagaimanapun, rasa kecewa menyelubungi diri melihatkan betapa daifnya laman web persatuan yang dikatakan terkaya di negara ini.
Tujuan sesuatu laman web diwujudkan adalah untuk memberikan info tentang badan berkenaan, aktiviti-aktiviti yang dijalankan, gambar-gambar berkaitan atau apa sahaja mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan badan berkenaan. Malangnya apa yang terdapat di laman web FAM terlalu lemah pengisiannya. Ia tidak diuruskan secara sistematik, maklumatnya lambat dikemaskini malah ada aktiviti bola sepak peringkat kebangsaan langsung tidak dilaporkan dan dimuatkan ceritanya dalam laman web ini.

Ini amat berbeza dengan cara pengurusan laman web Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang begitu terkini, apa sahaja cerita berkenaan bola sepak di seluruh dunia dengan cepatnya disiarkan untuk tatapan dan bacaan masyarakat dunia yang perlukan maklumat di hujung jari mereka. FIFA sebagai sebuah badan bola sepak di peringkat dunia lebih luas tugasnya daripada FAM. Mereka perlu mengetahui, mengambil berat, memantau dan melaporkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh negara anggotanya di seluruh dunia. Namun, segala tugas itu dapat dijalankan dengan jayanya hasil strategi dan sistem pengumpulan maklumat yang cekap dan efisyen.
Kekadang, ada di antara peminat yang ingin mengetahui tentang perkembangan pasukan kebangsaan, jadual perlawanan persahabatan, kejohanan yang telah dan bakal disertainya dan apa sahaja perkara yang melibatkan pasukan kebangsaan. Bagaimanapun, hampa dan kecewa sudahnya jika terlalu bergantung kepada laman web FAM. FAM mungkin tidak mengetahui bahawa ada segelintir peminat yang sanggup pergi ke mana sahaja untuk melihat aksi pasukan kebangsaan dalam perlawanan persahabatan namun dihampakan kerana ketidakcukupan maklumat yang mereka perolehi. Ada kalanya berita perlawanan persahabatan ini disiarkan di akhbar dan adakalanya tiada sebarang promosi diberikan. Kadang-kadang pertukaran tempat perlawanan pun didiamkan oleh pihak FAM. Sekurang-kurangnya jika ia dilaporkan di laman web FAM maka mudahlah pengikut-pengikut setia ini menyusun jadual mereka pula.


Paling memalukan, kebanyakan berita di laman web FAM hanya dicedok dari berita-berita yang disiarkan oleh akhbar tempatan. Sepatutnya akhbar-akhbar tempatan yang merujuk laman web FAM untuk mendapatkan berita rasmi. Ini menampakkan betapa senangnya kerja FAM yang mengambil jalan mudah tanpa memikirkan kesannya kepada badan itu sendiri. Adakalanya juga pihak media lebih cepat dan lebih peka menyiarkan berita-berita bola sepak tempatan namun apabila laman web FAM dilayari untuk mendapatkan maklumat lanjut, hampa bukan kepalang kerana tiada langsung berita itu dimuatkan di laman web berkenaan. Itu belum lagi jika peminat-peminat inginkan maklumat-maklumat aktiviti bola sepak yang dijalankan di negeri-negeri. Di mana lagi hendak diperolehi maklumat-maklumat itu jika bukan di laman web FAM sendiri! Umpamanya, skuad futsal negara ada mengambil bahagian di Kejohanan Futsal Asia Tenggara (AFF) yang berlangsung di Bangkok pada 24 hingga 31 Ogos 2008. Namun, laman web FAM langsung tiada maklumat mengenai kejohanan ini dan sekadar memetik berita mengenai kejohanan ini dari akhbar tempatan. Sungguh memalukan!
FAM sepatutnya mengatur rancangan dan strategi bagaimana laman web mereka boleh dijadikan sumber rujukan kepada peminat-peminat bola sepak tanah air. Wujudkan sekumpulan pekerja yang ditugaskan untuk menyelaraskan laman web ini. Kemudian bentuk kumpulan kecil di setiap negeri yang kerjanya memuat dan melaporkan sebanyak mungkin aktiviti bola sepak di negeri tersebut. Jadikan laman web FAM sebagai pusat di mana orang ramai hanya perlu ke laman web FAM walaupun jika mereka mencari maklumat tentang pasukan negeri atau kelab. Jika dana diperlukan untuk merealisasikannya maka FAM bertanggungjawab untuk mengusahakannya. Inilah masanya penjawat-penjawat tugas yang baru dilantik di FAM untuk membuktikan bahawa mereka adalah orang yang boleh diharapkan untuk menaikkan semula nama FAM.


Di saat negara kita sedang dalam suasana sambutan kemerdekaan ini, bukanlah kita hendak mengagung-agungkan pihak luar dan mengutuk membuta tuli terhadap hasil kerja anak tempatan. Bukanlah juga kita tidak bersikap patriotik jika membuat kritikan yang tidak menyebelahi negara sendiri. Tapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata dan rasional terhadap apa yang berlaku. Kerana sayangkan FAM dan sayangkan bola sepak negaralah maka kritikan ini dibuat. FAM perlu mengambil langkah untuk menambahbaik laman webnya. FAM mungkin tidak sedar bahawa laman web sesuatu jabatan itu menggambarkan baik atau lemahnya pengurusan jabatan itu. Tidak usahlah kita melaung-laung mengatakan persatuan kita bertaraf dunia walaupun hakikatnya pengurusan persatuan kita layak disamakan dengan peringkat sekolah. Jika duit tinggi menggunung sekalipun kononnya kita persatuan terkaya di dalam negara namun kelihatannya pengurusan kita yang lemah lebih menampakkan kemiskinan kredibiliti dan kemampuan kita menjalankan tugas. Janganlah berangan-angan ingin mendaki ke puncak jika laman web kitapun bergerak ibarat kura-kura!
Jumpa lagi di artikel yang lain pula. MERDEKA!
| 3.0 |





















No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.