Kelantan Bakal Jadi Pencabar Liga Super 2009.
Penyokong Kelantan pasti tersenyum lebar apabila mendapat khabar gembira dengan kenaikan pangkat skuad itu ke Liga Super musim baru nanti bagi menggantikan tempat pasukan PDRM yang menarik diri. PDRM dikatakan tidak mampu lagi untuk meneruskan perjuangannya dalam arena bola sepak tanah air ekoran dihimpit masalah kewangan.
Berita gembira itu turut disambut baik oleh pihak pengurusan pasukan Kelantan terutama jurulatih barunya, Peter Butler. Butler bukanlah seorang yang asing dalam saingan Liga Malaysia kerana beliau pernah membimbing pasukan Sabah pada musim 2003.
Berdepan dengan pasukan yang mempunyai reputasi besar seperti Kedah dan Selangor pasti menjadi kebimbangan kepada banyak pasukan tetapi tidak bagi Butler. Butler sebaliknya amat positif dengan kebolehan skuad bimbingannya dan beliau percaya keupayaannya semasa membimbing Sabah mengatasi kedua-dua skuad gergasi itu akan membantu Kelantan mencatat kejayaan yang sama.
Malah Butler juga mempunyai keyakinan bahawa Kelantan bakal menjadi antara pencabar hebat Liga Super musim baru nanti berdasarkan persiapan yang telah dilakukan oleh mereka. Kelantan musim ini bakal diperkuatkan oleh tiga pemain kebangsaan yang diadun bersama pemain-pemain muda tempatan.
Butler juga membayangkan bahawa skuad Kelantan musim ini akan mengamalkan corak permainan menyerang dengan meletakkan tiga pemain serangan di bahagian hadapan. Formasi 4-3-3 itu diyakininya bakal menonjolkan kekuatan Kelantan di mana penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin pasti akan ditugaskan mengetuai jentera serangan Kelantan.
Amaran yang dilaungkan Butler itu perlu diambil perhatian oleh pasukan-pasukan Liga Super. Kedudukan tempat ketiga Liga Perdana musim lalu mungkin belum cukup untuk menggerunkan pasukan-pasukan lain tetapi sejarah menunjukkan Kelantan sentiasa memberi saingan dalam kejohanan yang disertainya. Selangor pernah menjadi mangsa dengan kekalahan 2-5 kepada Kelantan dalam saingan Piala Malaysia musim lalu dan tidak mustahil Kelantan akan mengulanginya lagi dalam saingan Liga Super nanti.
| 3.1 |























Pingback by Masalah Kewangan Punca PDRM Tarik Diri. | Amirulcyber.com/bola
[...] Penarikan diri PDRM itu bermakna tempat kosong yang ditinggalkan mereka akan digantikan oleh pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Perdana musim lalu iaitu Kelantan. Kelantan telahpun dihubungi oleh FAM untuk memaklumkan mengenai perkara itu. [...]