IKLANKAN PRODUK ANDA! PAKEJ ISTIMEWA - RM10 PADA BULAN PERTAMA DAN RM20 PADA BULAN SETERUSNYA. HUBUNGI KAMI DI 019-2482462 ATAU E-MEL riezersharif@yahoo.com.
Powered by MaxBlogPress  

KAFA Bernasib Baik, FAM Cuma Kenakan Denda Minimum.

Seperti dijangka, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikenakan hukuman denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran tindakan liar penyokongnya semasa perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil hari Sabtu lalu.

Bagaimanapun, di luar jangkaan pula apabila denda yang dikenakan cuma sekadar denda minimum bernilai RM 50,000 berbanding jumlah kerugian harta benda yang dikatakan mencecah RM 138,150 satu jumlah yang jauh lebih kecil berbanding jumlah kerugian sebanyak RM 214,000 yang diumumkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Dewan Rakyat.

FAM dalam kenyataannya ada menyebut, “Bagi ganti rugi, kita tidak boleh hukum berdasarkan nilai dikemukakan. Kita jatuhkan hukuman berdasarkan nilai yang adil kepada pasukan”.

KAFA didakwa dan didapati bersalah atas tiga tuduhan oleh FAM. Pertama ialah penyokong atau penonton di tempat duduk khas untuk penyokong Kelantan membaling bunga api, mercun dan pelbagai objek ke arah dan memasuki padang permainan. Untuk tuduhan ini KAFA dikenakan denda sebanyak RM 5,000.

Tuduhan kedua ialah objek yang dibaling terkena dan menyebabkan kecederaan pegawai pertandingan di mana denda RM 20,000 dikenakan manakala tuduhan ketiga ialah merosakkan harta benda stadium, kerusi dan pintu pagar. Bagi kesalahan ketiga, KAFA didenda RM 25,000.

Selain itu, FAM mengakui pihak mereka akan menanggung segala kos kerugian yang berlaku di Stadium Nasional berdasarkan perjanjian yang mereka tandatangani selaku penyewa.

Ternyata KAFA bernasib baik atas sikap baik hati FAM itu. Sebelum ini, KAFA pernah didenda sebanyak RM 100,000 akibat rusuhan dan kekacauan yang dilakukan oleh penyokong mereka di Kota Bharu juga selepas pertemuan menentang Negeri Sembilan.

Walaupun dari segi moralnya, KAFA memang tidak boleh dipersalahkan atas sikap ganas pemyokong mereka namun melepaskan mereka tanpa sebarang tindakan pula akan menyebabkan penyokong pasukan lain juga boleh bertindak dengan perbuatan yang serupa.

FAM mungkin ada pertimbangannya sewaktu menjatuhkan hukuman, tetapi sebagai badan induk yang memayungi bola sepak negara kita, mereka sepatutnya menunjukkan kredibiliti dan kesungguhan untuk memerangi keganasan penyokong dengan tindakan yang lebih keras sebagai ingatan kepada penyokong bahawa angkara sikap mereka, pasukan kesayangan mereka yang akan menerima akibatnya.

Apa yang membingungkan, walaupun dikatakan seramai 1,500 orang anggota keselamatan dikerah untuk mengawal keselamatan namun sehingga kini tiada seorangpun penyokong yang menimbulkan kekacauan diheret ke muka pengadilan. Mereka yang bertanggungjawab menimbulkan kekacauan sepatutnya dikenakan hukuman yang berat sebagai peringatan kepada para penyokong lain bahawa gerak-geri mereka di stadium sentiasa diperhatikan oleh anggota keselamatan.

Perkara yang berlaku sudahpun berlaku. Namun, tiada guna menyalahkan sesiapa dalam hal yang sudah berlaku. Yang penting, ianya dijadikan iktibar dan pengajaran oleh semua pihak.

Kepada para penyokong bola sepak tempatan, pastikan peristiwa ini adalah yang terakhir dalam agenda bola sepak kita. Jadilah penyokong bola sepak yang bermaruah dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. Terimalah kemenangan dengan rasa syukur tidak terhingga dan kekalahan dengan hati yang terbuka.

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.

(required)

(required)