Janji Thierry Henry.


Sewaktu bersama kelab Arsenal, Thierry Henry adalah antara pemain yang digeruni di Liga Perdana England (EPL). Keupayaannya menjaringkan gol hasil gerakan individu yang menarik pasti akan dikenang oleh peminat-peminat EPL. Walaupun beberapa kali terpaksa berehat akibat ditimpa kecederaan namun kehadirannya semula ke padang pasti meninggalkan impak yang besar kepada perlawanan itu.


Kini telah semusim Henry meninggalkan England untuk mencuba nasib dalam La Liga Sepanyol. Dia menyertai Barcelona yang pada masa itu telahpun mempunyai beberapa nama besar seperti Ronaldinho, Lionel Messi, Deco dan Samuel Eto’o. Keputusannya untuk bertukar angin ke Barca telah diratapi oleh kebanyakan peminatnya dan juga peminat Arsenal. Tiada siapa yang menyangka Henry akan berhijrah pada ketika ramai yang meramalkan dia akan mengakhiri karier bola sepaknya di Arsenal. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berusaha untuk mengekalkan Henry di London namun tarikan Barca ternyata memukau mata sang penyerang.


Pengurus Barcelona ketika itu, Frank Rijkaard adalah orang yang paling gembira berikutan kejayaan kelab itu mengikat Henry. Rijkaard segera merencana strategi untuk menggunakan tenaga dan kemahiran Henry hingga ke tahap maksima. Namun masalah baru pula muncul. Lambakan pemain berbakat di Barca memeningkan kepala Rijkaard untuk meletakkan Henry di posisi yang sesuai dengannya. Akhirnya, Henry diarahkan lebih banyak bermain di sebelah kiri pasukan dan lebih banyak membantu barisan pertahanan. Akibatnya, peluang Henry untuk menjaringkan gol semakin tipis menyebabkan peminat mula mempertikaikan kehadirannya di kelab itu. Keadaan itu semakin buruk apabila dia hanya mampu menjaringkan sejumlah 19 gol dalam kesemua pertandingan yang disertai oleh Barca. Jumlah itu terlalu sedikit berbanding pencapaian hebatnya di Arsenal sehingga mampu menjaringkan 25 hingga 30 gol semusim. Selain itu, masalah kecederaan yang dialaminya memburukkan lagi keadaan.

Musim baru kian menjelang. Pasukan Barcelona telah membuat beberapa perubahan dalam senarai pemain dan pengurusnya. Tugas sebagai pengurus telah diambil alih Josep Guardiola setelah Frank Rijkaard ditamatkan khidmatnya. Beberapa pemain ternama kelab itu juga sudah mengangkat kaki dan berhijrah ke kelab lain pula. Deco adalah pemain paling awal meninggalkan Barca apabila menandatangani kontrak bersama kelab Chelsea. Ronaldinho yang dikatakan tiada dalam perancangan Guardiola menuruti langkah Deco apabila berhijrah ke AC Milan. Kini ada ura-ura pula bahawa Samuel Eto’o turut akan mengambil langkah yang sama.

Situasi ini kelihatannya memberikan kelebihan kepada Thierry Henry. Kekosongan bahagian serangan yang ditinggalkan oleh pemain-pemain itu ternyata memberi ruang yang amat luas kepada Henry untuk menonjolkan kemahirannya pada musim baru nanti. Peluang inilah yang dinanti-nantikan oleh Henry selama ini. Dia mahu bergerak bebas di bahagian hadapan supaya dapat melakukan lebih banyak percubaan ke arah pintu gol pihak lawan. Henry dalam kenyataannya berjanji akan mempamerkan semula kehebatannya di samping menjaringkan lebih banyak gol pada musim baru nanti. Itulah janji Henry. Dapatkah Henry menepati janjinya itu? Sama-samalah kita tunggu nanti.
Anda percaya janji Henry? Sila komen. Jumpa lagi.
Klik untuk lihat koleksi artikel.
| 2.6 |







































No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.