Isu Kantung Kering – FAM Kurangkan Beban PFA.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku persatuan yang bertanggungjawab memantau hal ehwal bola sepak negara ini ternyata prihatin dengan masalah kewangan yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Perak (PFA). Pendedahan pihak ketiga kepada media ternyata membawa sedikit sinar kepada PFA dalam menghadapi masalah yang meruncing ini.
Setiausaha FAM, Dato’ Azzuddin Ahmad yang agak terkejut dengan permasalahan yang dihadapi oleh PFA menyatakan bahawa FAM sedang memantau perkara ini dan telah berhubung dengan PFA. Bagaimanapun, menurutnya PFA meminta FAM memberi kelonggaran masa kerana PFA sedang cuba menyelesaikan masalah ini secara dalaman. Mungkin jika selepas ini mereka masih gagal menyelesaikannya, barulah bantuan dari FAM akan dipohon.

Menurut Dato’ Azzuddin lagi, kantung PFA yang semakin kering bakal penuh semula memandangkan FAM bercadang untuk menyegerakan bayaran baki geran peruntukan kepada semua persatuan negeri di bawah naungannya. Baki geran peruntukan itu yang dikatakan bernilai RM 150,000 itu pastinya akan sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh persatuan-persatuan bola sepak negeri. Difahamkan selain PFA, ada tiga lagi persatuan bola sepak negeri yang turut mengalami masalah yang sama. Untuk maklumat, geran peruntukan untuk setiap persatuan bola sepak negeri ialah sebanyak RM 250,000 kepada pasukan Liga Super manakala pasukan Liga Perdana menerima geran sebanyak RM 150,000 setahun.
Berita ini ternyata amat melegakan semua pihak. Diharapkan duit yang diterima akan digunakan dengan sebaik mungkin. Paling utama, gaji pemain-pemain yang telah tertunggak sejak beberapa bulan lalu dapat diselesaikan segera. Jangan pula selepas dapat duit daripada FAM, persatuan-persatuan ini menggunakannya untuk perkara lain. Pemain-pemain adalah asset pasukan. Tanpa pemain-pemain yang baik dan berkomitmen tinggi pastinya sesebuah pasukan akan menghadapi masalah untuk memenangi sesuatu kejohanan. Oleh itu, kebajikan pemain-pemain seharusnya diutamakan oleh persatuan. Setiap janji perlu dikota. Jika tidak mampu ditunaikan sebaiknya elakkanlah berjanji. Pemain-pemain juga ada perasaan yang perlu dijaga.

Akhirnya, perkara ini diharapkan memberikan pengajaran kepada PFA dan persatuan-persatuan lain. Dari pengamatan kami, pasukan Perak adalah antara pasukan yang sentiasa menunjukkan persembahan yang baik dan konsisten saban tahun. Seharusnya PFA sentiasa menjaga kebajikan dan memelihara hubungan baik dengan pemain untuk memastikan pasukan Perak akan terus memberikan persembahan terbaik dalam kejohanan di negara ini dan di peringkat antarabangsa. Semoga insiden ini akan berhenti setakat ini dan kami doakan pasukan Perak berjaya mengharumkan nama negara dalam kejohanan Piala Kelab Asia. Kejor Yob Kejor ………
Adios amigos. Jumpa lagi di artikel yang lain pula.
| 2.5 |





















No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.