IKLANKAN PRODUK ANDA! PAKEJ ISTIMEWA - RM10 PADA BULAN PERTAMA DAN RM20 PADA BULAN SETERUSNYA. HUBUNGI KAMI DI 019-2482462 ATAU E-MEL riezersharif@yahoo.com.
Powered by MaxBlogPress  

Gara-gara Amukan Penyokong, KAFA Berhadapan Kemungkinan Didenda.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya, terlajak perbuatan KAFA terpaksa tanggung akibatnya. Begitulah perumpaan yang sesuai buat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gara-gara sikap penyokongnya yang membuat kacau semasa perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan berlangsung Sabtu lalu.

Mahu ditangisi sudah tidak berair mata, mahu dimarah kepada siapa hendak diarah, mahu ditangkap tiada siapa yang boleh dipertanggungjawab. Pendek kata, baling batu sembunyi tangan, pukul anak sindir menantu, dek kerana kerbau seekor habis semua terpalit lumpur.

Siapapun yang menyaksikan kejadian di Stadium Nasional Bukit Jalil sama ada secara langsung di stadium mahupun di kaca televisyen pasti terpempan dengan apa yang dilihat. Tak sangka pula, ingatkan penyokong Britain saja yang mampu melakukannya malah orang Malaysia pun sudah setaraf dengan mereka almaklumlah kita kan sedang menuju ke arah negara maju.

Budaya timur yang dibangga-banggakan selama ini sudah melayang entah ke mana. Walaupun datangpun dari Pantai Timur tetapi perkataan timur itu sendiri sudah tidak membawa apa-apa makna.

Akibat dari kejadian memalukan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membincangkan perkara itu dan antara kemungkinannya adalah dengan menghukum KAFA atas keterlanjuran penyokong-penyokongnya. Kalau dikenakan hukuman, ini bukanlah kali pertama mereka menerima hukuman akibat tindakan liar penyokong Kelantan. Sebelum ini, hukuman paling berat yang diterima mereka adalah dipaksa dan terpaksa bermain di luar Kota Bharu selepas Stadium Sultan Mohamed Ke-IV diharamkan buat skuad Kelantan.

Namun atas rayuan KAFA dan penyokong-penyokongnya maka FAM yang termakan pujuk berlembut hati untuk kembali membenarkan perlawanan melibatkan Kelantan berlangsung semula di Kota Bharu. Memang betul tiada lagi rusuhan di Kota Bharu tetapi rupa-rupanya mereka memilih Bukit Jalil pula untuk menunjukkan belang yang sebenarnya tiadapun di badan ‘kijang’.

Apo nak dikato. Penyokong Nogori Sembilan bergembiro tapi penyokong Kelantan pulo buat bencano, sudahnya KAFA yang keno dendo.

Walau apapun hukumannya, KAFA sebenarnya menjadi mangsa keadaan. Mana mungkin mereka boleh mengawal tingkahlaku penyokong yang mencecah puluhan ribu pada masa itu. Tetapi ini satu pengajaran buat penyokong Kelantan. Mereka mungkin dimaafkan untuk kesalahan pertama tetapi andainya mereka terus membuat onar pada kejohanan akan datang, kita bimbang selepas ini tiada siapapun yang akan menaruh rasa simpati sebaliknya bertepuk riang jika Kelantan dikenakan hukuman yang lebih berat.

Jangan salahkan orang lain jika tiada lagi sesiapa yang akan mempercayai rayuan anda sebaliknya salahkan diri sendiri kerana nasi sudahpun menjadi bubur! Nasib baik jadi bubur sebab boleh dimakan lagi tapi kalau basi camno? Bak kata Nabil, “Lu pikir la sendiri!”

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.

(required)

(required)