MAMPUKAH LIGA MALAYSIA MENARIK MINAT PENYOKONG TANPA PEMAIN IMPORT?
Powered by MaxBlogPress  

Ganjaran Wang Faktor Penentu Julang Kejuaraan ?

Sudah menjadi kebiasaan di negara kita para atlit akan menerima bermacam-macam ganjaran di atas kejayaan mereka memenangi mana-mana kejohanan yang disertai. Semakin besar dan prestij kejohanan yang dimenangi maka semakin besarlah ganjaran yang bakal diterima oleh atlit itu. Umpamanya, baru-baru ini kerajaan mengumumkan akan memberi ganjaran berjumlah RM 1 juta jika ada ahli sukan negara yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Beijing. Namun, tiada ahli sukan negara yang mampu menggapai RM 1 juta itu memandangkan tahap pencapaian kebanyakan atlit kita belum sampai ke tahap dunia. Paling hampir, pemain badminton negara Lee Chong Wei sekadar membawa pulang pingat perak Olimpik apabila tewas di perlawanan akhir kepada pemain China Lin Dan. Hasil kemenangan pingat perak itu, Chong Wei diberi habuan RM 300,000 serta pencen seumur hidup berjumlah RM 3,000 sebulan. Selain itu, Chong Wei juga bakal dianugerahkan dengan gelaran Datuk oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Semua itu diterimanya selepas dia bekerja keras untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik.

Begitulah hebatnya ganjaran yang diterima oleh seseorang ahli sukan jika mereka berjaya memenangi sebuah kejohanan berprestij. Bagaimana pula dengan nilai prestij Piala Malaysia? Perlukah ganjaran dijanjikan kepada pemenangnya sebagai penaik semangat kepada pasukan itu untuk memenangi piala itu? Atau adakah ia sekadar untuk menyedapkan hati pemain-pemain supaya bermain habis-habisan di perlawanan akhir nanti? Jika tiada ganjaran disediakan, adakah pemain-pemain tidak akan bersemangat dan bermain bersungguh-sungguh untuk memenangi piala yang dipertandingkan?

Persoalan-persoalan ini banyak mengundang kepada perdebatan di kalangan pemain, pihak pengurusan dan penyokong-penyokong pasukan itu sendiri. Masing-masing mempunyai pandangan dan pendirian mereka sendiri. Siapa yang betul atau siapa yang salah bukanlah masalahnya. Masalahnya ialah setiap kali sesuatu kejohanan bola sepak di negara kita sampai ke kemuncaknya maka pada masa yang sama soal ganjaran akan timbul dan diperkatakan oleh semua pihak.

Bagi pemain, mereka sudah tentu mengharapkan akan menerima ganjaran jika mereka menjuarai kejohanan itu. Ganjaran itu adalah sebagai menghargai penat lelah mereka mengharungi cabaran kejohanan sehingga mampu meletakkan pasukan mereka di tahap tertinggi. Pemain mana yang akan menolak jika hendak diberikan ganjaran walaupun di mulut mereka mengatakan bahawa mereka bermain tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Semangat merekapun pasti akan membuak-buak sekiranya ditawarkan ganjaran yang lumayan sebelum perlawanan bermula.

Bagi persatuan negeri, mereka terpaksa bergantung kepada dana yang masih tersimpan dalam akaun persatuan. Persatuan tidak boleh sewenang-wenangnya menawarkan ganjaran jika mereka memang tidak mampu untuk memenuhinya. Pernah berlaku beberapa kali, ada persatuan-persatuan yang gagal memenuhi janjinya untuk memberikan ganjaran selepas pasukan mereka merangkul kejuaraan piala yang dihajati. Pemain-pemain mula memberontak dan bermain tidak sepenuh hati dalam setiap perlawanan yang disertainya sebagai tanda protes kepada persatuan negeri. Akibatnya prestasi pasukan tersebut merudum secara drastik dan menimbulkan masalah hubungan antara pemain dan pihak pengurusan.

Bagi penyokong mudah sahaja. Pemain-pemain digaji untuk bermain bola. Sama ada mereka menang atau kalah, mereka tetap dibayar gaji. Dalam bola sepak mana ada pasukan yang hendak kalah kecuali kalau ada antara pemainnya yang menerima rasuah. Maksudnya, setiap pasukan bertanding sudah tentu dengan tujuan untuk menang. Pemain pula bermain pun sudah tentu untuk memastikan pasukannya menang. Jadi, soal ganjaran tidak timbul sama sekali. Sama ada mereka akan mendapat ganjaran atau tidak ia menjadi perkara kedua. Perkara utamanya ialah mereka mesti menang perlawanan yang ditempuhi. Jika pun ada ganjaran yang akan diberi kepada mereka sepatutnya ia tidak mengganggu fokus mereka memenangi kejohanan itu.

Pasukan Kedah telah memenangi Liga Super dan Piala FA. Maksudnya kantung persatuan telah semakin gemuk hasil wang kemenangan yang diperolehi dari kedua-dua kejohanan itu. Maka tidak hairanlah tanpa teragak-agak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan akan memberikan ganjaran yang lumayan jika pasukan Kedah memenangi Piala Malaysia musim ini. Ganjaran paling awal akan diterima oleh pemain-pemainnya sehari sebelum perlawanan akhir berlangsung. Berita yang menggembirakan ini pastinya amat dinanti-nantikan oleh pemain-pemain dan diharap menjadi pemangkin dalam menaikkan semangat pemain dalam perlawanan akhir nanti. Itu belum dikira lagi ganjaran yang bakal diterima pemain andainya Kedah berjaya merangkul Piala Malaysia sekaligus mempertahankan kejuaraan piala yang berprestij itu.

Bagaimana pula dengan pasukan Selangor? Adakah pemain-pemain pasukan ini akan menerima habuan yang sama seperti rakan-rakan mereka di Kedah? Mungkin ganjaran perlu dijanjikan sebagai habuan penaik semangat memandangkan Selangor sekadar muncul naib juara dalam pertandingan Piala FA baru-baru ini. Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) lebih realistik terhadap kemampuannya untuk memberikan ganjaran kepada pemain-pemain Selangor jika mereka memenangi Piala Malaysia. Sebaliknya pihak persatuan memilih jalan selamat dengan hanya memberikan suntikan semangat melalui kata-kata motivasi dan lebih mahukan pemain-pemain bermain atas dasar hendak menaikkan nama negeri. Jika pasukan memenangi Piala Malaysia, barulah pihak pengurusan akan memikirkan ganjaran yang bersesuaian untuk diagih-agihkan kepada pemain-pemain.

Setiap pasukan sudah tentu mempunyai caranya yang tersendiri untuk menghargai pemain. Tiada pasukan yang tidak mahu memenangi sebarang piala yang dipertandingkan. Pemain-pemain pula harus sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar yang perlu dilunaskan kepada majikan mereka iaitu pasukan yang mereka wakili dan juga kepada para penyokong yang sanggup berhabis duit datang ke stadium semata-mata bagi memberikan sokongan kepada mereka. Sama ada elemen ganjaran akan mempengaruhi rentak pemain semasa perlawanan akhir nanti tidaklah diketahui. Apa yang pasti kedua-dua pasukan sudah tentu akan berusaha untuk memenangi Piala Malaysia sebagai membuktikan bahawa merekalah pasukan yang paling handal di Malaysia!

Undi juara Piala Malaysia pilihan anda sekarang! Jumpa lagi.

Rate this:
3.0

No Comments »

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a comment

If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.

(required)

(required)