Final Piala FA 2008 – Selangor Atau Kedah ?

Piala FA mula diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 1990. Dalam perlawanan akhir edisi pertama kejohanan itu pasukan Perak telah menjuarainya dengan mengatasi pasukan Selangor 4-2. Pertandingan ini kemudiannya berterusan sehingga ke hari ini di mana final edisi yang ke-19 akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam pada pukul 8.45 malam ini.

Pasukan Selangor pernah memenangi Piala FA sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1991, 1997, 2001 dan 2005. Selangor juga pernah menjadi naib juara pada tahun 1990. Kejuaraan sebanyak empat kali meletakkan Selangor sebagai pemenang terbanyak Piala FA. Pada tahun 1991, Selangor membalas dendam di atas kekalahannya kepada Perak apabila menewaskan lawannya itu dengan keputusan 1-0 untuk menjuarai Piala FA. Pada tahun 1997 pula Selangor mengalahkan Pulau Pinang 1-0 dalam perlawanan akhir manakala pada tahun 2001, Selangor menewaskan Sarawak juga dengan keputusan 1-0 untuk merangkul piala tersebut. Kali terakhir Selangor memenangi Piala FA ialah pada tahun 2005 apabila mengalahkan pasukan Perak 4-2 dalam perlawanan akhir.

Dari segi pencapaian pasukan dalam Liga Super, Selangor menduduki tempat keempat liga di belakang Kedah, Negeri Sembilan NAZA dan Johor FC. Pada tahun ini skuad Selangor mempunyai adunan pemain-pemain baru dan berpengalaman. Pemain-pemain seperti Shukor Adan, Amri Yahyah, Safee Sali, D. Surendran dan Indra Putra Mahayuddin menjadi tonggak kepada kekuatan pasukan ini. Mereka telah membuktikan bahawa komitmen seratus peratus sentiasa diberi dalam setiap perlawanan bersama pemain-pemain lain. Awang import yang bermain dengan skuad ini juga kian serasi dengan corak permainan anak tempatan. Frank Seator, Elie Aiboy dan Evans Chisulo pastinya sudah bersedia untuk menggempur kubu Kedah malam ini. Jurulatih Selangor, Dollah Salleh juga pastinya amat mengharapkan anak buahnya memberikan persembahan terbaik sekaligus membawa pulang trofi kejohanan ini buat kali ke-5. Dollah Salleh adalah merupakan antara jurulatih di negara ini yang mempunyai rekod cemerlang termasuk ketika membimbing Selangor mencatat `treble’ iaitu memenangi tiga piala pada tahun 2005 iaitu Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.
Pasukan Kedah pula pernah memenangi Piala FA sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1996 dan 2007. Ini bermakna Kedah merupakan juara bertahan bagi kejohanan ini. Pada tahun 1996, pasukan Kedah menewaskan Sarawak 1-0 untuk menjuarai kejohanan ini buat pertama kali. Kemudiannya Kedah mengalahkan Perlis 4-2 melalui sepakan penalti selepas seri 0-0 pada masa penuh permainan.

Pada tahun ini, Kedah mengulangi pencapaian tahun lalu dengan menjuarai Liga Super dengan memungut 56 mata meninggalkan pesaing terdekatnya pasukan Negeri Sembilan NAZA yang memungut 48 mata. Kekuatan pasukan Kedah banyak bersandarkan kepada pemain importnya iaitu Marlon Alex James, Bernard Hunggin dan Nelson Sam Martin. Malah Marlon Alex James juga telah muncul sebagai penjaring terbanyak dengan jumlah 23 gol. Namun demikian, pemain-pemain tempatan tidak kurang hebatnya. Kyril Muhaimeen, Hasmawi Hassan, Badrol Bakhtiar, Bunyamin Umar dan Ahmad Fauzi Shaari juga telah membuktikan bahawa tanpa kelibat pemain import, mereka mampu untuk mencatat kemenangan. Ini dapat dilihat dalam perlawanan separuh akhir menentang Pahang di mana mereka mencatat kemenangan dengan agregat yang besar sekalipun tanpa kehadiran pemain import mereka. Jurulatih Kedah Mohd Azraai Khor Abdullah tidak kurang pencapaian hebatnya di arena bola sepak tempatan. Beliau adalah jurulatih kedua yang mencatat `treble’ iaitu dengan memenangi kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 2007.
Melihat kepada pencapaian kedua-dua pasukan, masing-masing mempunyai kelebihan dan mampu merangkul Piala FA. Kekuatan pemain kedua-dua pasukan kelihatan seimbang dan sangat berpengalaman. Kedua-dua pasukan ini juga mempunyai pemain-pemain yang telah mewakili pasukan kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa. Pemilihan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang perlawanan akhir dikatakan memberikan kelebihan kepada pasukan Selangor. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa pasukan Kedah telah berjaya menewaskan pasukan Selangor di Stadium Shah Alam dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini.
Sebagai peminat bola sepak tempatan, marilah kita ramai-ramai ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan kita. Semoga kedua-dua pasukan akan mempersembahkan mutu perlawanan yang menarik dan menjadikan perlawanan akhir ini sebagai perlawanan yang akan dikenang dalam sejarah bola sepak negara kita. Hidup Red Giant ! dan Pulun Kedah Pulun !
VS
Jumpa lagi di lain artikel dan jumpa anda di Stadium Shah Alam.
| 2.5 |




















No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.