FAM Jadi Bahan Kritikan Lagi.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus menjadi sasaran kritikan badan gabungannya sendiri berikutan beberapa keputusan meragukan yang dibuat oleh FAM kebelakangan ini. FAM di bawah pengurusan baru dikatakan sering berubah-ubah ketika membuat keputusan membuatkan persatuan-persatuan negeri tidak berpuas hati dengannya.

Sebelum ini, FAM menjadi bahan kritikan kerana kelambatannya menguruskan peruntukan hadiah dan geran tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada persatuan-persatuan negeri. Ketika itu, pihak penaja utama Liga Malaysia sudahpun menyediakan peruntukan sebagaimana yang dijanjikan cuma kelewatan FAM menghantar akaun kewangan yang telah diaudit menyebabkan peruntukan itu dibekukan sementara. Kelewatan itu menyebabkan beberapa persatuan negeri terhimpit kerana kekurangan dana untuk membayar gaji pemain. Akibatnya, ia memberi kesan kepada persembahan keseluruhan pasukan itu yang menyaksikan prestasi pasukan itu merudum. Sebaliknya FAM hanya melengah-lengahkan pengagihan wang tersebut walaupun selepas pihak penaja menyalurkan peruntukan itu kepada FAM. Malah, ada beberapa persatuan negeri dikatakan terpaksa merayu kepada FAM untuk mempercepatkan pembayaran itu.

Kini, satu lagi isu baru muncul menghentam pengurusan FAM. FAM dikatakan mencampuradukkan perlembagaan baru dan lama sewaktu menjalankan beberapa perkara sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli gabungannya. Persatuan-persatuan negeri mendakwa bahawa mereka tidak pernah diberitahu tentang perlembagaan baru itu menyebabkan mereka masih berpegang kepada perlembagaan lama. FAM pula mendakwa bahawa perlembagaan baru itu telah mendapat kelulusan dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Bagaimanapun setelah disiasat, didapati yang mendapat kelulusan FIFA hanyalah bahagian teknikal perlembagaan iaitu bahagian yang menyentuh peraturan permainan. Situasi ini menimbulkan tanda tanya lebih-lebih lagi Pejabat Suruhanjaya Sukan juga sepatutnya dirujuk bagi mendapatkan kelulusan perlembagaan baru. Sehubungan itu, mereka berharap FAM akan menyelesaikan masalah tersebut sebelum mereka mengambil tindakan yang lebih drastik terhadap kepimpinan FAM.

FAM perlu melakukan sesuatu. Terlalu banyak kelemahan yang timbul ketika kepimpinan baru mengambil alih pucuk pimpinan FAM. Ketika pemilihan kepimpinan baru, ramai yang berharap FAM akan berubah dari segi gaya pimpinannya, program pembangunannya dan corak pengurusannya. Sebenarnya, itulah juga yang dilaung-laungkan mereka sewaktu minta dipilih menduduki kerusi empuk di FAM. Bagaimanapun, janji tinggal janji. Kalau diperhalusi dalam-dalam, ada keputusan yang dibuat mengikut kepentingan pihak-pihak tertentu dalam FAM. FAM yang sepatutnya sebuah badan bebaspun sudah mula hendak dipolitikkan. Harapan rakyat Malaysia yang ingin melihat kemajuan arena bola sepak negara kita kini semakin tipis. Pimpinan baru FAM perlu sedar akan perkara ini. Janganlah terlalu syok sendiri sehingga pandangan dan pendapat dari masyarakat sekitar diabaikan. Kemajuan bola sepak negara bergantung sepenuhnya kepada corak pengurusan FAM. Kalau beginilah keadaannya sampai kucing bertandukpun Malaysia tidak akan layak ke Piala Dunia!
Jumpa lagi di artikel yang lain pula.
| 3.0 |





















No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.