Detik Penentuan Malaysia-Chelsea.

Malam ini tepat pukul 8.45 malam Stadium Shah Alam akan menjadi saksi pertembungan kelab ternama Eropah, Chelsea menentang Pasukan Pilihan Malaysia. Perlawanan ini begitu ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak di rantau ini terutama penyokong fanatik skuad The Blues ini. Perlawanan ini juga pasti ditunggu oleh kebanyakan rakyat Malaysia dengan penuh debaran menantikan apakah bentuk cabaran yang bakal dijelmakan oleh skuad kebangsaan kelak.


Skuad Chelsea telahpun selamat tiba di Malaysia pada pukul 7.15 malam dalam penerbangan dari Macau semalam. Mereka kemudian dibawa menaiki bas dan tiba di tempat penginapan iaitu Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan sekitar jam 8.00 malam. Dikhabarkan lebih 300 orang peminat Chelsea telahpun berkumpul di hotel itu seawal pukul 6.00 petang untuk melihat sendiri bintang-bintang pujaan mereka. Kedengaran bunyi paluan kompang menyambut kehadiran tetamu-tetamu istimewa itu.

Pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari membawa hampir kesemua bintangnya ke Malaysia. Hanya Didier Drogba dan pemain yang baru dibeli iaitu Jose Bosingwa yang tidak kelihatan kerana mengalami kecederaan. Bosingwa dikatakan tercedera ketika perlawanan persahabatan menentang Guangzhou Pharmaceutical di China. Pemain itu telah dihantar pulang ke London untuk dirawat kecederaannya dan dijangka terpaksa berehat selama tiga minggu. Selain dua pemain itu, pemain-pemain utama Chelsea telahpun berada di bumi Malaysia. Ini bermakna, peminat-peminat bola sepak tanah air akan dapat melihat kelibat pemain-pemain seperti Andriy Shevchenko, Frank Lampard, Deco, Nicolas Anelka, Petr Cech, Joe Cole, Michael Ballack, John Terry dan ramai lagi.

Skuad Chelsea telah berpeluang menjalani latihan ringan di stadium keramat Selangor, Stadium Shah Alam kira-kira pukul 6.00 petang semalam. Lebih lima ribu orang penyokong pasukan Chelsea hadir untuk melihat sesi latihan itu di mana kebanyakannya memakai baju biru iaitu warna rasmi skuad The Blues itu. Suasana riuh-rendah dengan pekikan dan nyanyian berkumandang di stadium itu tatkala pemain-pemain Chelsea melangkah masuk ke padang untuk memulakan sesi latihan. Suasana yang wujud menggambarkan betapa meriahnya suasana pada malam ini apabila perlawanan sebenar berlangsung. Lebih-lebih lagi dijangka penyokong-penyokong bola sepak tempatan akan turut serta dalam kemeriahan malam ini.

Di satu tempat yang lain pula, skuad Malaysia kelihatan menjalani latihan tanpa publisiti besar-besaran. Pemain-pemain kelihatan tenang dan berlatih dalam suasana riang. Walaupun sedar mereka akan berhadapan dengan skuad gergasi Eropah, namun riak wajah mereka kelihatan sebaliknya. Tiada tanda rasa tertekan mahupun perasaan gugup. Menurut jurulatih skuad negara B. Sathianthan, beliau telah mengarahkan pemain-pemainnya bermain corak permainan biasa iaitu menyerang dan bertahan. Beliau menafikan sekeras-kerasnya bahawa Malaysia akan mengamalkan corak bertahan dalam perlawanan tersebut. Menurutnya lagi, Malaysia akan menggunakan formasi baru 4-1-4-1 di mana Safee Sali akan bertindak sebagai penyerang tunggal dalam perlawanan itu.



Skuad negara akan turun sebagai `underdog’ dalam perlawanan menentang Chelsea nanti. Lima pemain yang pernah bermain ketika menentang Chelsea pada tahun 2003 masih kekal dalam skuad kebangsaan. Indra Putra Mahyuddin, Hairuddin Omar, Nizaruddin Yusof, Irwan Fadzli Idrus dan Mohd Shukor Adan berpeluang untuk menebus aib 1-4 di tangan Chelsea ketika itu. Namun, tumpuan seharusnya diberikan kepada empat pemain muda yang semakin meningkat naik. Safee Sali, Muhd Zaquan Adha, Kyril Muhymeen dan pemain muda Terengganu, Ashari Samsudin dilihat mampu untuk menampilkan aksi yang menarik berdasarkan persembahan konsisten mereka musim ini. Stamina, larian deras dan kemahiran yang baik bakal dipertontonkan dalam perlawanan tersebut.


Dijangka puluhan ribu peminat dari kedua-dua pasukan akan memenuhi Stadium Shah Alam malam ini. Tidak dapat dipastikan sama ada lautan biru atau lautan kuning yang akan menguasai suasana stadium nanti. Tapi yang pastinya detik penentuan ini begitu ditunggu-tunggu oleh penyokong kedua-dua pasukan yang begitu ghairah mengharapkan pasukan masing-masing menampilkan aksi serba memukau dalam perlawanan itu nanti. Semoga pasukan Malaysia akan dapat melakukan sesuatu di sebalik pandangan sinis yang dilemparkan kepada mereka. Selamat menonton dan menyokong pasukan pilihan masing-masing. Adios amigos.
Jumpa lagi di lain artikel.
| 2.7 |





















No Comments
No comments yet.
RSS feed for comments on this post.
Sorry, the comment form is closed at this time.