Barcelona Dan Real Madrid Bakal Disaingi.
Getafe dan Sevilla kini berpeluang menconteng arang ke muka pendahulu liga, Barcelona dan juara bertahan, Real Madrid dalam pertemuan Liga Primera Sepanyol hari ini.
Kedua-dua kelab mempunyai rekod yang baik dan mereka bakal menguji dua kelab yang baru pulang dengan persembahan baik dalam saingan Liga Juara Eropah pada pertengahan minggu.
Real menewaskan BATE 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung dalam cuaca sejuk di Minsk sekaligus layak ke kelompok 16 pasukan terbaik Eropah. Bagaimanapun, Real akan bertemu Getafe di Coliseum yang merupakan tempat yang telah menyaksikan banyak pasukan handal tersungkur di situ.
Mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Getafe musim lalu dan hanya berjaya mengalahkan jiran mereka itu tiga kali dalam lapan perlawanan sebelum ini.
Jurulatih baru Getafe, Victor Munoz telah berusaha keras untuk mengembalikan prestasi kelab bimbingannya itu selepas persembahan sederhana kelab itu di bawah kendalian Michael Laudrup musim lalu. Mereka layak ke perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol dan layak ke suku akhir Piala UEFA. Dalam La Liga, mereka berkedudukan tangga ke-14.
Minggu lalu, mereka berkunjung ke Nou Camp untuk mengikat Barcelona 1-1 sekaligus menamatkan rentetan kemenangan Barca sebanyak sembilan perlawanan.
“Keputusan seri itu memberikan kami keyakinan tambahan untuk berhadapan dengan Real Madrid Sabtu ini,” kata penyerang Getafe, Manu del Moral.
“Real kini agak tempang dengan masalah kecederaan yang menimpa beberapa orang pemainnya. Mereka mungkin agak sukar untuk mempamer prestasi baiknya tetapi Real tetap Real. Mereka masih mempunyai pemain yang boleh mengubah keputusan perlawanan.”
Media melaporkan bahawa Real kini berhadapan dengan krisis dalaman di mana isu kecederaan pemain mengganggu prestasi keseluruhan pasukan selain terkeluarnya mereka dari saingan Piala Raja Sepanyol. Di sebalik kedudukan kedua di La Liga, persembahan mereka masih tidak menentu.
Sevilla yang kini berada di tangga kelima liga merupakan lawan yang degil buat Barcelona dan mereka hanya sekali berjaya membawa pulang tiga mata dari empat penampilan terakhir di Sanchez Pizjuan.
Barca menguasai tangga teratas kumpulannya dalam saingan Liga Juara Eropah selepas menang besar 5-2 ke atas Sporting Lisbon Rabu lalu.
Lionel Messi yang direhatkan kerana kecederaan sewaktu seri ketika menentang Getafe, membuktikan betapa penting kehadirannya apabila membantu Barca mendahului dengan tiga gol pada 57 minit pertama perlawanan menentang Sporting itu.
Pasukan tempat ketiga, Villareal bakal berkunjung ke tempat lawan untuk bertemu dengan kelab bawahan liga, Recreativo Huelva pada hari Ahad manakala pasukan di tangga keempat, Valencia akan menjadi tuan rumah kepada Real Betis.
Atletico Madrid yang kini di tangga keenam liga bakal meraikan kejayaannya layak ke fasa kalah mati Liga Juara Eropah bersama para penyokongnya apabila Stadium Calderon dibuka semula kepada kunjungan penonton ketika mereka menentang Racing Santander nanti. Mereka terpaksa menentang PSV Eindhoven di stadium yang kosong akibat hukuman yang diterimanya atas kekacauan penonton.
| 3.1 |

























No Comments »
No comments yet.
RSS feed for comments on this post. TrackBack URI
Leave a comment
If you want to leave a feedback to this post or to some other user´s comment, simply fill out the form below.