Archive for: January 2010
January 31, 2010

Selangor yang menang besar 6-0 ke atas Johor dalam perlawanan terdahulu, gagal mengekalkan momentum kemenangannya apabila sekadar seri 1-1 dengan Perlis di Stadium Utama, Kangar malam tadi.
Ahmad Fakri Shaarani membuka tirai jaringan buat Perlis pada minit ke-12 sebelum Safiq Rahim menyelamatkan maruah Selangor dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-41 bagi membolehkan skuad Gergasi Merah membawa pulang satu mata sekaligus mengekalkan kedudukannya selaku pendahulu liga.
Terengganu yang mengekori Selangor di tangga kedua kembali merapatkan diri dengan pendahulu liga itu dengan jurang dua mata sahaja apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
January 30, 2010


Guti dilaporkan akan terus kekal bermain bersama Real Madrid di sebalik ura-ura yang pemain itu bakal berpindah ke kelab lain.
Guti telah lama dikaitkan dengan cerita yang dia akan berpindah dari Bernabeu dan ketika ditanya wartawan dalam satu temuramah awal bulan ini, dia mengakui yang dia mahu cuba bermain di negara lain, dengan Inter Milan adalah pilihan utamanya.
January 29, 2010


Tottenham Hotspur kini di peringkat akhir rundingan bagi mendapatkan khidmat bekas penyerang Barcelona, Eidur Gudjohnsen dan pemain pertahanan Portsmouth, Younes Kaboul.
Gudjohnsen berada di lapangan latihan Spurs semalam untuk rundingan terakhir bagi menguruskan perpindahannya secara pinjaman apabila berpaling dari persetujuan awal untuk menyertai West Ham.
January 28, 2010


Wayne Rooney mengetuai kemaraan Manchester United ke perlawanan akhir Piala Carling apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menewaskan seteru setempat, Manchester City 3-1 dalam perlawanan kedua saingan separuh akhir di Old Trafford semalam.
Selepas jaringan Carlos Tevez kembali mengikat agregat kepada 3-3 untuk membayangkan yang perlawanan itu bakal berlanjutan ke masa tambahan, Rooney tampil dengan watak pemusnah apabila menanduk masuk hantaran Ryan Giggs untuk membolehkan United mara ke final dengan agregat 4-3. United sebelum ini tewas 1-2 dalam perlawanan pertama di Eastlands.
January 27, 2010


Kelab Brazil, Santos mengesahkan yang pihak mereka telah menghantar wakil ke England untuk berbincang dengan Manchester City tentang keinginan kelab itu mendapatkan khidmat Robinho secara pinjaman.
Pengurus City, Roberto Mancini beberapa kali menegaskan tetap memerlukan khidmat penyerang Brazil itu tetapi Santos beranggapan pinjaman pemain itu selama enam bulan sudah memadai buat kelab itu.
January 26, 2010


Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mendakwa kad merah yang diterimanya ketika Real Madrid mengatasi Malaga 2-0 dalam saingan La Liga adalah tidak adil buatnya di sebalik insiden patah tulang hidung yang dialami Patrick Mtiliga akibat hayunan tangannya.
Ronaldo yang menjaringkan kedua-dua gol kemenangan Madrid sebelum insiden hitam itu berlaku pada minit ke-70, telah meminta maaf dari Mtiliga selepas perlawanan tetapi tindakannya membantah keputusan pengadil itu mengundang kemarahan kem Malaga.
January 25, 2010


Barcelona menewaskan Real Valladolid 3-0 semalam untuk terus menjarakkan diri kepada lapan mata selaku pendahulu liga, selain mencatat sejarah pertama kali mengekalkan rekod tanpa kalah buat separuh musim ini dalam saingan liga.
Xavi, Daniel Alves dan Lionel Messi menjaringkan gol buat menyuntik semangat positif buat juara Sepanyol itu, di mana jurulatihnya, Pep Guardiola menamatkan spekulasi tentang masa depannya dengan bersetuju menandatangani tambahan kontrak setahun.
January 24, 2010


Wayne Rooney menjaringkan empat gol sensasi ketika membelasah Hull City 4-0 di Old Trafford semalam sekaligus mengangkat kedudukan Manchester United selaku pendahulu EPL yang baru mengatasai Arsenal dan Chelsea dengan kelebihan dua mata.
Setelah membuka tirai jaringan seawal minit ke-8, Rooney bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga lapan minit terakhir untuk meledakkan gol kedua dalam perlawanan itu.

Terengganu mengenepikan semua ramalan awal yang mengatakan mereka akan tersungkur kepada Selangor apabila menang bergaya 4-0 ke atas lawannya itu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
Dua sepakan penalti yang dimiliki Terengganu ternyata meruntun semangat para pemain Selangor sehingga mereka hilang punca di sebalik penguasaan bahagian tengah yang dijana oleh Safiq Rahim, Hardi Jaafar dan Bunyamin Omar.
Bagaimanapun, Terengganu lebih berbisa dari segi tindakan penyudah dengan kemampuan barisan pemain penyerang mereka yang begitu efisien ketika berada di hadapan gol lawan.
January 23, 2010


Chelsea menjangkakan yang Michael Essien terpaksa diketepikan antara empat hingga enam minggu apabila mengalami kecederaan buku lali ketika menjalankan tugas antarabangsa di Kejohanan Negara Afrika bersama Ghana.
Essien dengan segera dibawa pulang awal dari kejohanan di Angola itu selepas mengalami kecederaan itu ketika menjalani latihan pada hujung minggu lalu.
January 22, 2010


Pemilik baru West Ham, David Sullivan mengesahkan yang kelab itu membuat tawaran yang jauh lebih baik berbanding tawaran Tottenham Hotspur dalam usaha mendapatkan khidmat Ruud van Nistelrooy dari Real Madrid.
Sullivan memberitahu media yang beliau telah mengemukakan tawaran gaji sebanyak 100,000 pound seminggu kepada penyerang berusia 33 tahun itu, yang hanya bermain dalam dua perlawanan bersama gergasi Sepanyol itu musim ini.
January 21, 2010


Dua jaringan Dirk Kuyt memberikan Liverpool nyawa baru dalam saingan EPL musim ini dengan membenam cabaran Tottenham Hotspur 2-0 di Anfield semalam.
Penyerang antarabangsa Belanda itu meledakkan gol pertama pada minit ke-6 sebelum menggandakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.
January 20, 2010


AC Milan dengan tegas menolak andaian yang pemain tengahnya, Mathieu Flamini akan kembali bermain di Liga Perdana England dengan menyertai Manchester City secara pinjaman.
Setelah berjaya mendapatkan khidmat seorang bekas pemain Arsenal, Patrick Viera pada awal bulan ini, pengurus baru City, Roberto Mancini dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Flamini, di sebalik kebanjiran pemain tengah berbakat di kelab itu.
January 19, 2010


Presiden Barcelona, Joan Laporta menolak spekulasi tentang kemungkinan perpindahan pengurusnya, Pep Guardiola ke Manchester United dan menegaskan yang pengurusnya itu akan menandatangani perjanjian baru di Nou Camp.
Pengurus berusia 39 tahun itu dikaitkan dengan laporan untuk berpindah ke Manchester United bagi menggantikan Sir Alex Ferguson selepas mempamer kemampuan membimbing Barca mencatat prestasi memberangsangkan.
January 18, 2010


Barcelona membelasah Sevilla 4-0 dibantu oleh dua gol Lionel Messi untuk membolehkan mereka menjarakkan diri dari pesaing di tempat kedua, Real Madrid yang tewas kepada Athletic Bilbao dalam satu lagi perlawanan Liga Primera Sepanyol semalam.
Barca meningkatkan jurang kepada lima mata ketika baru separuh musim berlangsung selepas Real Madrid tumpas mengejut 0-1 kepada Bilbao menerusi jaringan minit ke-3 oleh Fernando Llorente.
January 17, 2010


Chelsea mengekalkan kedudukannya selaku pendahulu EPL dengan satu lagi kemenangan besar apabila membelasah Sunderland 7-2 di Stamford Bridge semalam.
Skuad bimbingan Carlo Ancelotti membuktikan yang mereka masih mampu mencatat kemenangan walaupun tanpa kehadiran bintang-bintang Afrika apabila menghasilkan tujuh gol menerusi Nicolas Anelka (dua), Florent Malouda, Ashley Cole, Frank Lampard (dua) dan Michael Ballack.

Selangor kini mengungguli takhta Liga Super apabila mengekalkan rekod kemenangan seratus peratus dengan menewaskan KL Plus 1-0 di Stadium Petaling Jaya malam tadi.
Menang dalam dua perlawanan sebelum ini, Hardi Jaafar memastikan rentak kemenangan pasukannya kekal apabila dia meledakkan jaringan tunggal dalam perlawanan itu pada minit ke-57.
Terengganu mendaki ke tangga kedua liga apabila membelasah Pulau Pinang 4-0 di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Skuad Rafael Benitez dinafikan kemenangan menerusi gol saat akhir Stoke dalam saingan EPL di Stadium Britannia semalam sekaligus meningkatkan tekanan mengenai masa depannya di Liverpool.
Liverpool menunjukkan keazaman untuk menang apabila berada di depan pada awal babak kedua menerusi pemain pertahanan Greece, Sotirios Kyrgiakos yang menolak masuk gol pertamanya sejak menyertai Liverpool.
January 16, 2010


Jose Mourinho hanya akan mengambil alih tugas Rafael Benitez di Liverpool jika kelab itu dijual kepada pelabur yang boleh bersaing dengan Manchester City dan Chelsea dalam urusan jual beli pemain.
Keputusan tentang masa depan Benitez masih samar-samar sehingga akhir musim ini, dengan usaha mendapatkan pelabur kini giat sedang dalam perbincangan.
January 15, 2010


Musim tidak menentu Liverpool bertambah buruk apabila mereka tersingkir dari saingan Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Reading di Anfield semalam.
Liverpool kehilangan Steven Gerrard dan Fernando Torres kerana kecederaan ketika kalah kepada Reading, yang berjaya memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan sebelum pemain gantian Shane Long menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-100.
January 14, 2010

Kelantan mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini apabila menang bergaya 3-0 ke atas Johor di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Kota Bharu malam tadi.
Setelah hanya mencatat keputusan seri 0-0 dengan Terengganu dalam perlawanan pertama, pemain-pemain Kelantan kelihatan bernafsu untuk mencatat kemenangan lebih-lebih lagi bermain di hadapan penyokong sendiri.
Pemain yang baru menyertai Kelantan, Akhmal Rizal Ahmad Rakhli membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 sebelum ketua pasukannya, Badri Radzi menggandakan kedudukan pada minit ke-47.
January 13, 2010


Real Madrid mengesahkan yang penyerangnya, Gonzalo Higuain terpaksa diketepikan selama hampir sebulan berikutan kecederaan yang dialaminya.
Higuain mempamerkan aksi yang memberangsangkan musim ini dan sekali lagi menampilkan persembahan terpuji pada hujung minggu lalu, menjaringkan satu gol dan mencipta satu gol lagi ketika Madrid menewaskan Real Mallorca 2-0.
January 12, 2010


Rafael Benitez mengakui yang Liverpool mungkin terpaksa melepaskan Fernando Torres jika mereka gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara Eropah musim lalu.
Isu kewangan Liverpool yang tenat sememangnya sering diperkatakan dan difahamkan yang Benitez hanya diperuntukkan dengan dana yang kecil hasil penjualan beberapa pemainnya bulan ini.
January 11, 2010


Patrick Viera percaya dia adalah pemain yang lebih baik berbanding ketika dia meninggalkan Liga Perdana England empat setengah tahun yang lalu.
Bekas ketua pasukan Arsenal itu mendapati begitu sukar buatnya meyakinkan Jose Mourinho di Itali, maka keputusannya untuk kembali bermain di England mengundang persoalan memandangkan tahap permainannya yang lebih tinggi tetapi Viera yakin pengalamannya bermain di Serie A menjadikannya lebih baik.
January 10, 2010

Selangor berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih yang dimenanginya tahun lalu apabila menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan pembukaan Liga Super musim ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban malam tadi.
Perlawanan antara juara Piala FA dan juara Piala Malaysia itu adalah perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia dengan kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan terbaik mereka, termasuk pemain-pemain skuad Malaysia yang memenangi pingat emas di Sukan SEA di Laos baru-baru ini.
Negeri Sembilan yang bermain di hadapan penyokong sendiri ternyata begitu berbahaya dengan beberapa gerakan di awal permainan termasuk percubaan dari Aidil Zafuan Abdul Razak yang mengenai palang gol lawan.
Next Page »
|