Archive for: March 2009
March 31, 2009


Pengurus Liverpool, Rafael Benitez menegaskan yang Steven Gerrard sepatutnya dipilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan PFA.
Dipercayai bintang Manchester United, Nemanja Vidic dan Ryan Giggs adalah pilihan utama untuk memenangi anugerah itu, tetapi Benitez merasakan Gerrard lebih layak.
Pemain tengah England itu sedang berada di prestasi terbaik dalam kerjayanya dan telah menjaringkan 21 gol musim ini untuk menjadi watak penting dalam usaha Liverpool memburu kejuaraan liga.
March 30, 2009

England membuktikan kehebatannya dengan membelasah Slovakia 4-0 dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Wembley semalam.
Dua gol England dijaringkan oleh Wayne Rooney pada minit ke-70 dan 90. Emile Heskey membuka tirai jaringan pada minit ke-7 manakala Frank Lampard menjaringkan gol ketiga England pada minit ke-82.
David Beckham turut mencatat sejarah apabila membuat penampilan ke-109 bersama skuad England untuk memecah rekod yang dipegang oleh Bobby Moore.
March 29, 2009


Wayne Rooney menggegar jaring dua kali untuk berkongsi kegembiraan dengan pemecah rekod, David Beckham untuk membantu kemenangan 4-0 England ke atas Slovakia dalam perlawanan persahabatan di Wembley awal pagi tadi.
Rooney mempamerkan aksi memberangsangkan pada babak kedua, dengan gol pertamanya hadir pada minit ke-70 menerusi tandukan hasil hantaran Beckham, yang menyambut penampilan ke-109 bersama skuad England.
March 28, 2009
March 27, 2009


David Beckham mengakui yang kerjayanya bersama skuad England mendapat manfaat dari perpindahan secara pinjamannya bersama AC Milan di San Siro.
Ketika ditemui selepas sesi latihan bersama England untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang Slovakia, Beckham berkata, “Yang pastinya, berada di AC Milan membolehkan saya menyertai tahap permainan di peringkat tertinggi dan ia penting sebagai bekalan menghadapi perlawanan antarabangsa. Saya gembira menyertai skuad Milan dan diharapkan ianya berterusan.”
March 26, 2009

Manchester United dilaporkan sudah menghantar kertas kerja mengenai penajaan kelab itu kepada syarikat konglomerat India, Tata Group.
Kontrak empat tahun United bersama AIG yang bernilai 100 juta pound hanya akan berakhir pada Mei 2010 tetapi syarikat gergasi insuran itu telah mengumumkan Januari lalu yang mereka tidak akan memperbaharui kontrak bersama United kerana syarikat itu sedang menghadapi masalah kewangan yang serius.
Kelab EPL itu turut menghantar kertas kerja penajaan kepada sebuah lagi syarikat India, Sahara Group pada Januari lalu dan media tempatan melaporkan yang United turut berminat menjalankan kerjasama dengan Tata Group.
March 25, 2009


Pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher memberi amaran kepada Manchester United yang Liverpool kini mempunyai kelebihan mental untuk mengharungi baki perlawanan pada ketika persaingan memburu kejuaraan liga semakin sengit.
United mengalami dua kekalahan perit berturut-turut ketika menentang Liverpool dan Fulham manakala Liverpool pula mudah menundukkan Aston Villa 5-0, sehingga menyaksikan kelebihan mata United dikurangkan dari tujuh mata kepada satu mata sahaja.
March 24, 2009


Barcelona membelasah Malaga 6-0 di Nou Camp dengan corak serangan yang menghiburkan dan mengukuhkan kedudukannya di takhta liga dengan kelebihan enam mata.
Samuel Eto’o dua kali menggegar jaring, menjadikan jumlah jaringannya dalam saingan liga mencecah 25 gol musim ini manakala Xavi, Thierry Henry, Daniel Alves dan Lionel Messi turut menemui sentuhan jaringan untuk menambah derita pihak lawan.
Pendahulu liga itu kini memungut 69 mata dengan berbaki sepuluh perlawanan, enam mata mengatasi pesaing terdekatnya, Real Madrid, yang turut mencatat kemenangan 3-0 ke atas Almeria, dengan dua gol dihasilkan menerusi Klaas Jan Huntelaar.
March 23, 2009


Liverpool semakin menyesakkan nafas pendahulu liga, Manchester United apabila garang membelasah pasukan di tangga kelima, Aston Villa 5-0 di Anfield awal pagi tadi.
Itu adalah kemenangan hebat ketiga Liverpool dalam tempoh 12 hari, dengan empat gol diledakkan dalam perlawanan menentang Real Madrid dan Manchester United sebelum ini.
Juara bertahan, United kini hanya berkelebihan satu mata dan masih memegang satu perlawanan dalam tangan tetapi jumlah jaringan Liverpool kini melebihi jaringan anak-anak buah Sir Alex Ferguson, selain turut mempunyai kelebihan perbezaan jaringan.

Liverpool mengesahkan kehebatan mereka di peringkat Eropah apabila membelasah juara Sepanyol, Real Madrid 4-0 dalam perlawanan kedua saingan kalah mati 16 pasukan di Anfield pada 10 Mac yang lalu.
Kemenangan besar itu memberikan laluan selesa kepada ‘The Reds’ dengan agregat 5-0 selepas turut menang 1-0 dalam perlawanan pertama di Bernabeu dua minggu sebelumnya.
Gol-gol Liverpool dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Fernando Torres, Steven Gerrard (dua gol) dan Andrea Dossena.
March 22, 2009


Chelsea melepaskan peluang keemasan untuk merapatkan diri dengan pendahulu liga, Manchester United apabila mereka tumpas mengejut 0-1 kepada Tottenham Hotspur di White Hart Lane awal pagi tadi.
Luka Modric muncul wira Spurs apabila dia meledakkan jaringan pada minit ke-50 untuk memberikan kekalahan pertama buat Guus Hiddink sejak dia mengendalikan skuad ‘The Blues’ itu musim ini.
Perlawanan yang berlangsung lewat itu membolehkan Chelsea mengetahui berita kekalahan United kepada Fulham namun mereka gagal menggunakan kesempatan itu.


Fulham membuatkan persaingan memburu kejuaraan EPL kembali terbuka apabila mencatat kemenangan sensasi 2-0 ke atas barisan sembilan pemain Manchester United di Craven Cottage awal pagi tadi.
Danny Murphy meletakkan Fulham di depan pada minit ke-17 apabila dia menyempurnakan sepakan penalti yang diperolehi pasukannya selepas Paul Scholes menampan bola dengan tangannya ketika bola hampir menggegar jaring gol pasukannya. Akibat insiden itu, Scholes telah dilayangkan kad merah.

Selangor mengekalkan kedudukannya selaku pendahulu Liga Super apabila menewaskan Kuala Muda NAZA 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.
KM NAZA yang belum pernah kalah di gelanggang sendiri musim ini kelihatan akan mengekalkan rekod itu apabila berjaya mengikat kedudukan seri tanpa jaringan pada babak pertama.
Bagaimanapun, Rudie Ramli memecahkan kebuntuan pada minit ke-68 apabila berjaya menggegar jaring lawan untuk gol pertama Selangor sebelum Fitri Shazwan menambah gol kedua ‘Red Giants’ pada minit ke-79.
March 21, 2009


Liverpool akan meneruskan permusuhan di peringkat Eropah dengan Chelsea apabila diundi bertemu dengan skuad bimbingan Guus Hiddink itu dalam saingan suku akhir Liga Juara Eropah, dalam satu majlis undian di Ibu Pejabat UEFA di Nyon, Switzerland semalam.
Undian itu bermakna juara Eropah 2005 itu akan akan berhadapan dengan finalis Liga Juara Eropah musim lalu buat kali kelima dalam lima musim, empat kali dalam fasa kalah mati dan sekali di peringkat kumpulan.
Liverpool memenangi dua perlawanan tetapi Chelsea menang dengan agregat 4-3 dalam pertembungan terakhir di peringkat separuh akhir musim lalu.
March 20, 2009


Pengurus Liverpool, Rafael Benitez akan mengusahakan agar bintang-bintang utamanya diikat lebih lama, sesuatu yang menjadi keutamaannya, selepas beliau menandatangani kontrak baru bersama kelab itu sehingga musim panas 2014.
Anfield bakal berada dalam suasana ‘bahaya’ ekoran kebuntuan rundingan Benitez dengan kelab itu, di mana kontrak Benitez kelihatan bakal berakhir tanpa sebarang persetujuan dicapai, tetapi ia akhirnya terungkai apabila persefahaman dicapai antara kedua-dua pihak pada hari Rabu lalu.

Walaupun Manchester United mendahului pada awal permainan menerusi sepakan penalti Cristiano Ronaldo namun Liverpool membalas dengan dua jaringan menerusi Fernando Torres dan sepakan penalti Steven Gerrard.
March 19, 2009


William Gallas menempatkan Arsenal ke peringkat separuh akhir Piala FA apabila menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan untuk mengalahkan Hull City 2-1 dalam saingan suku akhir di Stadium Emirates semalam.
Gallas, yang dilucutkan tugas selaku ketua pasukan pada awal musim, pasti tidak lagi memakai lilitan ketua pasukan ketika Arsenal bertemu Chelsea di separuh akhir nanti, tetapi tandukannya sudah cukup membolehkan ‘The Gunners’ melangkah ke Wembley, kali pertama dalam tempoh sedekad.
March 18, 2009

Itali menyatakan hasrat untuk berkongsi menjadi tuan rumah Kejohanan Negara-negara Eropah 2016 (Euro 2016) dengan Perancis namun mendapat sambutan dingin dari jirannya itu yang mahu menganjurkannya sendirian.
UEFA dalam kenyataannya minggu lalu mengesahkan yang tiga negara iaitu Itali, Perancis dan Turki telah mengemukakan tawaran untuk menjadi tuan rumah tunggal kejohanan peringkat negara Eropah itu manakala Norway dan Sweden menyatakan hasrat untuk menjadi tuan rumah bersama kejohanan itu, yang buat pertama kalinya akan melibatkan 24 pasukan.
March 17, 2009


Naib Presiden Valencia, Fernando Gomez mengesahkan pihak mereka telah berbincang dengan Manchester City tentang kemungkinan perpindahan penyerangnya, David Villa ke kelab EPL itu.
Valencia sedang mengalami krisis kewangan yang teruk dan mengakui buat kali pertama minggu lalu yang mereka memerlukan wang tunai dengan menawarkan lelongan kepada beberapa asetnya untuk menyelesaikan masalah itu.
Penyerang Sepanyol itu, yang merupakan pemain paling bernilai kelab itu, menandatangani kontrak selama enam tahun dengan Valencia pada bulan Ogos lalu, bermakna kontraknya hanya akan tamat pada 2014 dengan laporan ianya melibatkan nilai 144 juta pound, tetapi kini kelab itu sendiri yang terpaksa mengambil keputusan melepaskan pemain itu.
March 16, 2009

Mengekalkan kedudukan di tangga teratas ranking terbaru (11 Mac) Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepanyol selesa dengan kelebihan 300 mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Jerman. Selepas tergelincir dari senarai sepuluh pasukan terbaik dunia pada bulan Disember 2008, Portugal kembali menduduki tangga kesepuluh (naik dua anak tangga) menolak Turki ke tangga kesebelas manakala Rusia berjaya mendaki satu anak tangga ke tempat kelapan.
Dalam kelompok 50 pasukan terbaik dunia, 27 adalah dari negara Eropah, lapan dari benua Afrika, tujuh dari Amerika Selatan, empat dari Amerika Utara dan empat lagi dari negara Asia.
March 15, 2009


Jabatan Polis Manchester sedang menyiasat insiden tumbukan yang melibatkan Jose Mourinho selepas pertembungan Inter Milan-Manchester United dalam saingan kalah mati Liga Juara Eropah hari Rabu lalu di Old Trafford.
Dakwaan menyebut Mourinho telah menumbuk penyokong yang cuba mendekati bas yang membawa pemain-pemain Inter ketika hendak meninggalkan stadium selepas kekalahan 0-2 kepada United.
Pihak polis telah menghubungi pihak United untuk mendapatkan tayangan CCTV di tempat kejadian dan mengesahkan aduan telah dibuat.
Next Page »
|