Archive for: October 2008
October 31, 2008


Bayern Munich menempuhi keadaan sukar sebelum bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Eintracht Frankfurt 2-1 dalam saingan Bundesliga di Frankfurt semalam. Frank Ribery menjadi penyelamat Bayern dengan menjaringkan gol kemenangan buat kelabnya. Sebelum itu, Bayern turut mengalami kesukaran sewaktu menentang Wolfsburg minggu lalu apabila bangkit dari ketinggalan dua gol sebelum menang 4-2.


Pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo telah dinamakan sebagai Pemain Terbaik Dunia FifPro 2008. Kejayaan Ronaldo itu memang telah diduga berdasarkan kemampuannya menjaringkan 42 gol musim lalu. Ronaldo juga membantu United merangkul dua kejuaraan utama musim lalu iaitu Kejuaraan EPL dan Liga Juara Eropah. Nama Ronaldo telah dicalonkan minggu lalu dan tiada pemain lain yang mampu bersaing dengannya untuk merangkul anugerah ini dan ini telah terbukti dengan undian sebulat suara yang dibuat oleh lebih 40 buah negara anggota.
Ronaldo ketika ditemubual tentang pemilihannya ini berasa amat bangga memandangkan undian dilakukan oleh lebih 50 000 pemain dari seluruh dunia. Dia berasa terhutang budi dan berterima kasih kepada keluarganya, rakan sepasukannya dan para penyokongnya.


AC Milan mencatat kemenangan keempat berturut-turut apabila mengenepikan cabaran Siena 2-1 dalam saingan Serie A di Milan semalam. Kaka muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya dalam perlawanan sengit itu menerusi sepakan penalti. Kemenangan itu menyaksikan AC Milan memanjat ke tangga ketiga liga hanya satu mata di bawah Napoli dan Udinese.
October 30, 2008


Liverpool mengekalkan kedudukan di tangga teratas EPL apabila mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Portsmouth di Anfield pagi tadi. Kemenangan ini mengekalkan kelebihan tiga mata Liverpool ke atas pencabar terdekatnya, Chelsea yang turut mencatat kemenangan pagi tadi.


Manchester yang diikat 1-1 oleh Everton dalam saingan EPL Sabtu lalu kembali mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan West Ham 2-0 di Old Trafford awal pagi tadi. Cristiano Ronaldo muncul wira United apabila dua golnya pada babak pertama memberikan tiga mata berharga kepada United. Dua gol itu juga membuktikan keupayaan Ronaldo yang berhasrat menjaringkan 25 gol musim ini sebagai menyahut cabaran pengurus United, Alex Ferguson. Kini Ronaldo telah menjaringkan sebanyak lima gol dalam saingan EPL.


Hull City yang dilihat mampu memintas kedudukan Chelsea jika menang gagal berbuat demikian apabila terpaksa tunduk 0-3 kepada The Blues dalam saingan EPL di tempat sendiri awal pagi tadi. Kekalahan itu sekaligus menamatkan rentetan empat kemenangan yang dicapai oleh Hull sebelum ini. Sebaliknya Chelsea kini meninggalkan Hull tiga mata di belakang dan kini kembali mengejar kedudukan teratas liga selepas tewas 0-1 kepada Liverpool Ahad lalu.


Sentuhan ajaib Harry Redknapp berterusan apabila Tottenham Hotspur bangkit menjaringkan dua gol pada saat akhir untuk mengikat Arsenal 4-4 dalam saingan EPL yang mendebarkan di Stadium Emirates awal pagi tadi. Arsenal yang diambang kemenangan terpaksa berputih mata di atas kebangkitan di lewat permainan oleh Spurs yang belum kalah di bawah kendalian Redknapp.
Comments Off


Juande Ramos menyalahkan polisi penjualan pemain Totenham Hotspur di bawah kendalian Pengarah Sukannya, Damien Comoli sebagai punca kejatuhan prestasi pasukan itu dalam saingan EPL musim ini. Ramos juga mendakwa bahawa beliau tidak diberi peluang secukupnya untuk mengendalikan kelab itu.


Bordeaux kini memimpin Ligue 1 Perancis dengan kelebihan gol selepas membelasah Le Havre 4-0 dalam saingan tunggal Ligue 1 di tempat sendiri semalam. Dua gol dari David Bellion membantu kemenangan besar Bordeaux ini dan membolehkan kelab itu berada di kedudukan teratas Ligue 1 sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam sebelum pendahulu sebelumnya, Olympique Lyon turun menentang FC Sochaux.


Bayer Leverkusen merampas kedudukan pendahulu Bundesliga selepas menewaskan Werder Bremen 2-0 di Bremen semalam. Leverkusen memintas kedudukan Hoffenheim dengan kelebihan dua mata yang bagaimanapun masih mempunyai kelebihan satu perlawanan. Bagi Bremen pula, kekalahan ini meneruskan rekod buruk mereka yang tidak menang dalam empat permainan berturut-turut.
October 29, 2008


Pengurus Inter Milan, Jose Mourinho mengambil tindakan tegas dengan menggugurkan nama penyerang Brazil, Adriano dari kesebelasan utama yang akan turun menentang Fiorentina hari ini kerana kes disiplin. Adriano dikatakan datang lewat ke sesi latihan kelab itu menyebabkan Mourinho berang dan mengarahkan pemain itu pulang.


Newcastle United mencatat kemenangan pertama dari lapan perlawanan EPL apabila menumpaskan West Bromwich Albion 2-1 di St James Park malam tadi. Joey Barton yang baru dibebaskan dari penjara membalas jasa Newcastle kepadanya dengan menyumbat satu gol dalam perlawanan itu. Pemain berusia 26 tahun itu turun dalam perlawanan pertamanya selepas dibebaskan dan kepercayaan Newcastle kepadanya berbaloi dengan kemenangan ini.


Penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic menafikan laporan media Itali yang mengatakan bahawa dia telah bersetuju menandatangani kontrak baru bersama Inter Milan. Media Itali dalam laporannya mendakwa Ibrahimovic telahpun menandatangani kontrak baru bersama Inter Milan minggu lalu.


Ketua pasukan Liverpool, Steven Gerrard memberi amaran kepada rakan-rakannya bahawa mereka belum membuktikan apa-apa walaupun kini mendahului liga yang baru berlangsung suku musim. Kerisauan Gerrard amat berasas kerana Liverpool pernah kehilangan jejak juara walaupun bermula dengan amat baik pada musim lalu. Pemain yang berusia 28 tahun itu yakin yang Chelsea akan bangkit dari kekalahan yang meleburkan rekod 86 perlawanannya kepada Liverpool Ahad lalu manakala Manchester United juga pasti akan menemui sentuhan juaranya nanti.


Cristiano Ronaldo telah disenaraikan sebagai salah seorang pemain dalam pasukan FifPro yang merupakan pasukan impian dunia di mana pemain-pemain yang disenaraikan adalah pemain-pemain terbaik dari seluruh dunia. Ronaldo merupakan salah seorang dari lima pemain dari EPL yang diumumkan berada dalam senarai tersebut.
October 28, 2008


AC Milan menutup minggu yang penuh dengan keceriaan buat mereka apabila menewaskan Atalanta 1-0 dalam saingan Serie A di Bergamo semalam. Milan menewaskan kelab Belanda, Heerenveen 3-1 dalam saingan Liga Juara Eropah Rabu lalu selain dalam proses terakhir untuk mengikat David Beckham secara pinjaman dalam tempoh terdekat. Kaka muncul wira Milan apabila golnya pada lewat permainan sudah mencukupi buat Milan untuk mengutip tiga mata dari perlawanan itu.


Manchester City kembali ke landasan kemenangan selepas menang selesa 3-0 ke atas Stoke City dalam saingan EPL yang berlangsung di Stadium City of Manchester semalam. Robinho menyerlah dalam perlawanan ini dengan menjaringkan tiga gol dalam perlawanan ini sekaligus hatrik pertamanya semenjak kedatangannya ke EPL. Kemenangan itu juga meredakan kritikan terhadap City selepas hanya mampu seri 2-2 ketika menentang Newcastle United minggu lalu.


David Beckham menafikan bahawa keinginannya bermain untuk kelab Itali, AC Milan adalah kerana wang. Sebaliknya dia hanya bertujuan memantapkan permainannya dengan menyertai Milan secara pinjaman untuk tempoh yang pendek. Ini berikutan cadangan pengurus England, Fabio Capello supaya Beckham menyertai liga yang lebih kompetitif bagi meningkatkan prestasinya yang pada pandangan Capello masih di tahap yang rendah. Beckham tiada pilihan lain dan dengan menyertai Milan supaya dirinya sentiasa cergas walaupun ketika tempoh liga utama Amerika Syarikat berehat.
October 27, 2008


Real Madrid berjaya mencatat kemenangan 3-2 walaupun dicabar hebat oleh Atletico Bilbao dalam saingan Liga Primera Sepanyol di Santiago Barnebeu malam tadi. Dua gol Gonzalo Higuain membantu kemenangan Real ini sekaligus meletakkan Real di tangga ketiga La Liga pada masa ini. Bilbao agak kecewa kerana selepas bangkit dari ketinggalan dua gol, mereka akhirnya tunduk kepada Real akibat kesilapan sendiri.


Arsenal meningkatkan asakan ke atas pendahulu EPL, Liverpool apabila turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas West Ham di Upton Park malam tadi. Walaupun menerima tentangan sengit dari pasukan tuan rumah namun dua gol lewat pada babak kedua meningkatkan peluang Arsenal memburu kejuaraan EPL musim ini. Emmanuel Adebayor yang hanya masuk sebagai pemain gantian membuktikan bahawa dia merupakan permata buat Arsenal apabila kemasukannya menjana kemenangan Arsenal ini.


Chelsea terpaksa menelan kepahitan apabila menyaksikan rekod bersihnya di halaman sendiri lebur selepas tumpas 0-1 kepada Liverpool dalam pertembungan dua pasukan teratas EPL malam tadi. Kali terakhir Chelsea kalah di tempat sendiri adalah ketika mereka tewas 1-2 kepada Arsenal pada Februari 2004. Ini juga adalah kekalahan pertama The Blues di bawah bimbingan Luiz Felipe Scolari. Liverpool pula kini memintas kedudukan Chelsea selaku pendahulu takhta dan kini berkelebihan tiga mata mengatasi Chelsea.
October 26, 2008


Barcelona terus menunjukkan aksi garang apabila membelasah skuad kerdil, Almeria 5-0 dalam saingan Liga Primera Sepanyol di Nou Camp malam tadi. Penyerang Cameroon, Samuel Eto’o menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu untuk membantu kemenangan besar Barca itu. Barca meneruskan rentetan kemenangan besarnya selepas turut membelasah FC Basel 5-0 di Switzerland dalam saingan Liga Juara Eropah Rabu lalu. Kesemua lima gol itu dijaringkan pada babak pertama sebelum Barca mengendurkan asakan pada babak kedua.


Manchester United kian jauh dari gapaian kejuaraan EPL apabila sekadar terikat 1-1 dengan Everton dalam perlawanan yang berlangsung di Goodison Park malam tadi. Keputusan seri walaupun masih belum menutup peluang United merebut kejuaraan EPL namun ia menyukarkan juara bertahan itu untuk mempertahankan kejuaraannya.

 
Ketika diletak harapan menggunung, Malaysia sekali lagi gagal memenuhi harapan itu apabila tunduk 5-6 menerusi sepakan penalti dalam pertembungan kemuncak Pestabola Merdeka ke-40 di Stadium Bukit Jalil malam tadi. Kehadiran lebih kurang 50,000 penyokong Malaysia yang memenuhi stadium seperti tiada makna apabila ketumpulan barisan penyerang mensia-siakan deretan peluang mengecewakan harapan mereka. Sebaliknya Vietnam yang hanya sesekali menyerang dapat menyerap segala asakan pasukan tuan rumah dengan baik dan berjaya mengekalkan kedudukan 0-0 hingga tamat masa tambahan.


Valencia mengalami perubahan mendadak sejak kelab itu dibimbing oleh jurulatih baru Unai Emery. Kelab itu hanyalah pasukan di pertengahan liga musim lalu tetapi sejak kedatangan Emery, kelab itu telah menunjukkan prestasi yang membanggakan sehinggakan kini mereka mampu memimpin La Liga.
Next Page »
|